Sekadar gambar hiasan
Seorang lelaki di Kota Tinggi, Johor berdepan detik cemas selepas membenarkan ‘tetamu’ yang tidak dikenali menggunakan tandas rumahnya sebelum individu berkenaan bertindak mencederakan dua ahli keluarganya menggunakan parang.
Tetamu tidak dikenali buat hal
Foto: Berita Harian
Ujar Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora menerusi laporan Berita Harian, insiden tersebut berlaku pagi semalam di rumah mangsa yang terletak di Felda Bukit Easter. Tuan rumah ketika itu sempat memberi minuman kepada ‘tetamu’ tersebut, sebelum dia meminta izin mahu menggunakan tandas bagi membuang air besar.
Namun, tetamu berkenaan dikatakan cuba memasuki sebuah bilik tidur sebelum bertindak secara agresif.
Ketika cuba menghalang perbuatan itu, suspek bersikap agresif termasuk mencederakan dua penghuni rumah berkenaan dengan menggunakan parang. Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar sebuah hospital berhampiran.
Manakala suspek juga mengalami kecederaan apabila kejadian itu disedari penduduk kampung yang mengambil tindakan sendiri sebelum diserahkan kepada polis. Suspek turut dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Suspek dalam keadaan khayal
Sekadar gambar hiasan
Ujar Hussin lagi, suspek didapati dalam keadaan khayal dan dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika berada di rumah mangsa dan hasil siasatan awal tiada sebarang unsur samun serta parang yang digunakan adalah milik tuan rumah.
Suspek adalah warga tempatan berusia 30 tahun diserahkan kepada polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam (parang).
Pihak polis juga turut menasihati orang ramai supaya terus menghubungi balai polis berhampiran jika terdapat individu yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan perumahan dalam keadaan mencurigakan.
Sumber: Berita Harian