berita

‘Baik Macam Mana Pun Tetap Ada Tak Suka’ – Aeril Zafrel & Wawa Zainal Tiada Niat Tayang Kemewahan

September 18th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Wawa Zainal Aeril Zafrel

Pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal enggan mengambil pusing terhadap komen nakal netizen yang menganggap mereka sengaja menayang kemewahan di media sosial.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Menang ‘Celebrity Creator Of The Year’, Aeril Zafrel Bawa 40 Staf Bercuti Ke Korea

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aeril Zafrel & Wawa Zainal Kongsi Rezeki, Beri Air Percuma Kepada Orang Ramai

Tiada niat menunjuk

Wawa Zainal Aeril Zafrel

Ketika ditemui OhBulan! Wawa berkata netizen berhak untuk berkata apa sahaja kerana percaya pandangan setiap individu adalah berbeza.

Jelas Wawa, dia juga tiada niat untuk menayang kemewahan kerana apa yang dikongsikan merupakan momen indah yang dinikmati dirinya bersama keluarga.

Ikut pandangan masing-masing. Kalau dipandang dari sudut positif, maka positif. Orang tahu kami hanya ingin berkongsi momen manis suami isteri agar dapat jadi inspirasi pada orang lain.

Namun kalau dipandang dari sudut negatif orang akan kata kami ini menunjuk-nunjuk. Padahal kami hanya berkongsi momen sahaja.

Sementara itu, kata Aeril kejayaan yang dikecapinya bersama isteri hari ini adalah hasil titik peluh serta kerja keras mereka selama tujuh tahun.

Ramai tahu, untuk berada pada tahap yang sekarang ini (berjaya) bukan ambil masa setahun, orang tahu kami dulu juga pernah susah, kami struggle.

Perlahan-lahan orang nampak, kami ada office, rumah, bangunan sendiri. Semua hasil itu memakan masa hampir tujuh tahun. Bukan mudah untuk dicapai.

Saya juga percaya sesiapa yang ada perniagaan sudah pasti mempunyai goals masing-masing. Alhamdulillah salah satu goals kami sudah tercapai.

Komen buruk ganggu emosi

Wawa Zainal Aeril Zafrel

Tambah Aeril lagi, dia juga memilih untuk tidak membuka ruangan komen kerana risau kata-kata netizen bakal mengganggu emosinya.

Justeru, aktor itu menasihati netizen untuk menjaga percakapan mereka agar tidak menyakiti hati orang lain.

Kami berdua jenis yang tak baca komen sangat, jadi tidak tahu kalau ada yang tidak suka anak kami atau kami, tak baik kalau ada.

Saya tahu kalau buka komen akan ada benda yang negatif, jadi saya memilih untuk tidak buka. Perkara itu boleh ganggu emosi dan mental.

Adakala teguran itu dibuat tanpa mereka mengenali diri kami yang sebenar. Kalau mahu tegur perlu fikir tentang perasaan orang yang ditujukan itu. Cuba untuk tidak menyakiti orang lain.

Kami berdua pun dah jadi artis lama, kecaman netizen ini sudah menjadi asam garam sebagai selebriti. Kami juga tahu keceman itu setakat mana sahaja.

Baik macam mana sekali pun tetap akan ada orang tak suka. Selagi perkongsian atau momen yang kami kongsikan tidak melampui batas, saya rasa masih okey.

Sementara itu, disoal adakah netizen bertindak demikian kerana berasa cemburu dengan kejayaan mereka, Wawa menjawab jangan lihat dari sudut yang negatif.

Nak kata orang cemburu dengan kehidupan kami tidak juga, ada ramai juga yang terinspirasi dengan apa yang kami buat.

Mungkin ada sesetengah sahaja yang cemburu, tapi jangan asyik cari sudut negatif, lihat dengan cara positif. Hidup ini kalau negatif sangat susah, nak berjaya susah, nak dapat rezeki pun susah.

Terdahulu, perkongsian video di TikTok memperlihatkan Aeril menghadiahkan sebiji kereta mewah jenama Brabus 900 Rocket Edition kepada Wawa mendapat perhatian ramai. Malah, ada yang meluahkan rasa kurang senang dengan mengatakan pasangan itu seakan menunjuk-nunjuk.

SKIP THIS AD ×