berita

Bajet 2023, Beri Tumpuan Kesejahteraan Dan Pembangunan Untuk Sabah, Sarawak

November 16th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: Dagang News

Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, kerajaan melalui pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memastikan Bajet 2023 merangkumi pelbagai teras yang mementingkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi semua golongan masyarakat.

Ismail Sabri dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri pada 15 November lalu turut mengatakan bahawa Bajet 2023 ini merupakan yang terbaik dan dan merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah berjumlah RM372.3 bilion.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak diambil berat, sebaliknya pelbagai program dan usaha telah ditumpukan kepada kedua-dua negeri untuk kemudahan rakyatnya.

Kredit: Harian Metro

Menjawab dakwaan tentang ‘menganak tirikan’ rakyat Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri menjelaskan bahawa Bajet 2023 sebenarnya banyak memberikan kelebihan kepada dua negeri tersebut terutamanya dari segi pembangunan.

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar, keutamaan kali ini juga ditumpukan kepada infrastruktur di luar bandar dan jalan-jalan kampung dengan kemudahan yang ditambah baik.

Kredit: I Love Borneo

Ini termasuklah menyediakan dana berjumlah RM420 juta dalam membaik pulih hospital dan klinik yang daif serta menggantikan peralatan usang dengan memperoleh peralatan mobile CT Scan bagi meningkatkan perkhidmatan CT Scan khususnya untuk manfaat pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga meneruskan usaha menyiapkan projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak & Sabah yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.

Dalam pada itu, Sabah dan Sarawak akan terus menerima manfaat besar daripada pembangunan negara dengan peruntukan dana pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion. Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

“Seperti yang kita janjikan, layanan terhadap Sabah dan Sarawak adalah sama sahaja seperti di Semenanjung. Malah, dari segi tumpuan kepada pembangunan infra dan sebagainya, akan kita utamakan dan berikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Rujukan: 

https://budget.mof.gov.my/pdf/2023/ucapan/buku-ucapan-bajet-2023.pdf

SKIP THIS AD ×