berita

‘Baki Duit Tinggal RM200 & Sewa Rumah Tertunggak Empat Bulan’ – Hazami

August 15th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Penyanyi Hazami menyifatkan peluang yang diberikan stesen TV3 untuk menyertai program baharu, Terpaling Juara sangat bermakna.

Artikel Berkaitan: Penyanyi Lagenda Berentap Dengan Bintang Baharu, Rebut Gelaran Terpaling Juara

Umpama bulan jatuh ke riba

Menurut Hazami, 47, dia sangat bersyukur apabila dapat kembali beraksi di pentas selepas dua tahun ‘berehat’ gara-gara pandemik.

Bakal berentap dengan Ifa Raziah dan Rahmad Mega, Hazami akui bukan satu perkara yang boleh dipandang mudah.

Alhamdulillah atas rezeki yang Allah berikan. Saya tahu pasti ada yang menganggap tak habis-habis muka Hazami, namun di sebaliknya, orang tak tahu bagaimana saya bersyukur dengan peluang ini.

Anda ingat senang dipilih berentap dengan dua penyanyi berpengalaman seperti Ifa Raziah dan Rahmad Mega. Memang bukan perkara mudah.

Hazami berkata demikian ketika majlis sidang media program baharu TV3, Terpaling Juara yang diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre, One Utama, baru-baru ini.

Duit habis diguna

Dedah pemilik nama Norkamal Hazami Ahmad, dia terkesan apabila duit simpanan sudah habis diguna dan menyebabkan terpaksa berhutang sewa rumah selama empat bulan.

Jujurnya, saya sudah dua setengah tahun tiada ‘job’. Sebenarnya, saya memang terkesan dengan pandemik COVID-19. Saya tiada duit nak makan, malah, rumah juga tidak berbayar sewa selama empat bulan.

Duit dalam bank hanya tinggal RM200, itulah yang berlaku pada awal tahun lalu.Namun, saya jenis senyap dan tidak bercerita. Saya diamkan sahaja dan kini, baru berkongsi.

Saya diberitahu sistem terganggu, jadi, duit tak masuk. Namun, sekarang sudah okay. Cuba bayangkan, saya tiada gaji tetap, tetapi duit perlu keluar, setiap bulan.

Terfikir nak jual piano

Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Sonata Musim Salju akui, pernah terfikir untuk menjual piano kesayangan demi kelangsungan hidup.

Alhamdulillah, kewangan kembali stabil, sejak Januari lalu. Adik-beradik saya banyak membantu. Jujurnya, saya tidak tahu apa nak buat sehingga menghubungi semua persatuan seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) dan Recording Performers Malaysia (RPM) dan syarikat penerbitan meminta pertolongan.

Mereka memberikan duit pendahuluan dan dimasukkan dalam akuan dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Malah, rakan seperti Datuk Hattan dan Fauziah Latiff turut mengambil berat.

Program Terpaling Juara bakal menyaksikan penyanyi legenda, Hazami, Ifa dan Rahmat berentap dengan bintang baharu, Shazreen Shaharum (Shaz), Aqmal Ramdan (Aqmal) serta Aqeesh Aleeya (Aqeesh).

Mereka akan dibimbing oleh tiga pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu juara AJL 30, Akim Ahmad, Hael Husaini (AJL 32 dan AJL 33) dan Naim Daniel (AJL 34) yang akan menggalas tanggungjawab sebagai kapten.

Program Terpaling Juara membuka gelanggang menerusi siaran langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, jam 9 malam, setiap Ahad bermula 21 Ogos ini.

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah berjumlah RM100,000, manakala naib juara (RM50,000) dan pemenang ketiga (RM30,000).

Ia boleh ditonton menerusi TV3 dan distrim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Sumber: Instagram @hazamiofficial

SKIP THIS AD ×