berita

Terpaling Juara: Rahmad Mega, Aqmal, Hazami & Shaz Mara Ke Minggu Akhir

October 2nd, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Empat peserta Terpaling Juara iaitu Rahmad Mega, Aqmal, Hazami dan Shaz mara ke pusingan akhir, pada malam Ahad.

Artikel Berkaitan: Menangis Masa Konsert Terpaling Juara, Dato Hattan Minta Ifa Raziah Kawal Emosi

Artikel Berkaitan: Debaran Separuh Akhir Terpaling Juara Kian Terasa! Hael, Akim & Naim Daniel Dah Sedia ‘Ramuan’ Rahsia

Tiada penyingkiran

Bagaimanapun, Hazami dan Shaz menduduki tangga terbawah dan dikehendaki bertarung menerusi pusingan Battle Bottom 2 dengan menyampaikan lagu Sejati, nyanyian asal Wings.

Namun, keputusan berubah selepas juri tetap, Fauziah Latiff, menggunakan imuniti dan sekaligus menyelamatkan Hazami daripada tersingkir.

Menurut Fauziah Latiff, dia akui Hazami ada melakukan kesilapan namun katanya dia sudah lakukan yang terbaik selama enam minggu bertanding.

Saya akui Hazami dan Shaz melakukan sedikit kesilapan, malam ini. Tetapi, mereka diberi peluang pada pusingan ‘battle’, jadi mereka berusaha melakukan yang terbaik.

Hazami dan Shaz menyanyikan dengan baik menerusi persembahan sebelum ini. Mereka sudah membuktikan antara penyanyi yang terbaik.

Jadi, apa salahnya Hazami dan Shaz diberi peluang melangkah ke peringkat akhir. Insya-Allah, saya percaya mereka pastinya tampil dengan persembahan lebih baik, minggu depan.

Rahmad Mega yang mempersembahkan lagu Kejora Ku Bersatu menerima hadiah persembahan terbaik pada minggu ini dan membawa pulang wang tunai RM5,000 sekaligus mara ke minggu akhir.

Aqmal yang menyanyikan lagu Aku Skandal diumumkan peserta kedua mara pada minggu hadapan.

Untuk minggu akhir, kesemua peserta membawakan tugasan nyanyian solo manakala untuk duet akan menjadi kejutan.

Kesemua peserta diadili oleh dua juri tetap iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latiff serta juri jemputan, Ajai.

Terdahulu, tirai pentas separuh akhir dibuka dengan persembahan Is Projector Band dan Yabang Khalifah menerusi lagu Sudah Ku Tahu dan Hang Pi Mana.

Muss pula diundang menyampaikan lagu Sendiri menerusi persembahan penutup.

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, manakala naib juara bakal memenangi RM50,000 dan tempat ketiga pula menerima RM30,000.

Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir, bersiaran selama lapan episod di TV3. Jangan ketinggalan untuk menonton pada setiap hari Ahad, siaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pukul 9 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

SKIP THIS AD ×