Foto: Metro UK
Seorang daripada empat banduan yang pernah memfailkan saman dengan mendakwa mereka dipaksa dan ‘didera’ mendengar lagu popular kanak-kanak ‘Baby Shark’ selama berjam-jam dilaporkan maut di penjara pada Ahad lalu.
Ditemui mati dalam penjara
Banduan terbabit yang dikenali sebagai John Basco ditemui tidak sedarkan diri di dalam penjara oleh salah seorang pegawai polis di ketika membuat rondaan di Pusat Tahanan Daerah Oklahoma itu. Pegawai perubatan kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian namun mangsa yang berusia 48 tahun itu disahkan meninggal dunia.
Ahli keluarga juga telah dimaklumkan mengenai berita tersebut namun punca kematian lelaki berkenaan masih belum dapat dikenal pasti. Difahamkan, perbicaraan yang seterusnya mengenai tuntutan penderaan tersebut dijadualkan pada 22 September ini.
Terdahulu, John Basco bersama tiga rakan banduannya iaitu Daniel Hedrick, Joseph Mitchell dan Ja’Lee Foreman mendakwa mereka telah didera sepanjang berada di dalam tahanan.
Pernah failkan saman
Sekadar gambar hiasan
Menurut banduan Daniel Hedrick, dia turut dipaksa berdiri sambil mendengar lagu ‘Baby Shark’ selama berjam-jam pada tahun 2019 manakala Joseph Mitchell pula diheret keluar dari selnya dan ditempatkan dalam satu bilik sebelum dipaksa berdiri dalam ‘kedudukan tekanan’ selama tiga hingga empat jam. Tangannya digari di belakang sambil lagu ‘Baby Shark’ dimainkan dengan kuat di lorong tahanan.
Sementara Ja’Lee Foreman Jr dipaksa mendengar lagu itu dalam keadaan ‘posisi tertekan’ dan kemudiannya melutut sebelum dihempas ke dinding. Tak cukup dengan itu, pegawai polis bertindak meludah ke arah banduan terbabit.
Disebabkan seksaan tersebut, mereka berpakat untuk memfailkan saman.
Sumber: NBC News