Pernah jatuh terduduk, pelakon Ammar Titan bersyukur apabila sentiasa dilimpahi rezeki selepas menempuh episod hitam pada tahun 2017.
Tumpang rezeki anak
Menurut Ammar, 34, dia percaya setiap tawaran kerja yang datang kepadanya itu untuk isteri dan dua orang anaknya yang masih kecil.
Tidak dapat menahan rasa sebak, pemilik nama Azizul Ammar Abu Hassan berkata dia hanya menumpang rezeki anak terutama cahaya mata keduanya yang baru berusia dua bulan, Maryam Malaika.
Setiap tawaran kerja yang saya dapat, saya akan bisik pada Maryam, ‘Abi ini tumpang rezeki Maryam ya’. Kadangkala, saya sentiasa teringat apa yang orang cakap sebelum ini, dengan apa yang pernah terjadi pada saya.
Mereka kata saya ini tak mungkin boleh bangkit semula. Tak dinafikan, ada ketika memang saya termakan dengan kata-kata nista itu.Tapi, bila dikurniakan anak, rezeki itu sentiasa ada.
Bila saya boleh bawa keluarga kecil saya pergi bercuti pun hati rasa bahagia. Saya percaya, hidup saya sekarang ini pun bukan disebabkan rezeki saya, tetapi tumpang rezeki anak dan isteri, untuk saya terus bekerja demi keluarga.
Nak bawa makanan walau sekeping roti
Oleh sebab itu, pelakon filem Siapa Tutup Lampu nekad untuk gigih bekerja bagi memastikan isteri dan anak-anak mengecapi kebahagiaan hidup.
Memang bekerja dalam bidang ini kerana minat. Tetapi sebab kedua saya bekerja adalah untuk keluarga, untuk saya bawa sesuatu ke meja makan, buat keluarga, walaupun sekeping roti.
Saya tak makan pun tak mengapa. Saya boleh makan dengan produksi. Tapi rezeki yang saya maksudkan ini adalah bahagian mereka. Saya nak berikan semua kegembiraan itu untuk mereka.
Terdahulu, Ammar dilanda kontroversi dan dikecam teruk pada tahun 2017 apabila dia menghina bapa atlet Watson Nyambek ketika sedang bersiaran sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio swasta.