Bekas anggota kumpulan nasyid Inteam, Suhaimi Saad terpaksa direhatkan daripada Konsert Amal 4Nomena Alumni Universiti Islamm Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 April ini.
Menerusi Harian Metro, wakil penganjur yang juga pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segenap sudut dan pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal itu.
Kontroversi melanda Suhaimi
Pihak penganjur sedia maklum mengenai kontroversi yang melanda Suhaimi berhubung kenyataan yang berbaur provokasi sehingga menerima reaksi kurang senang dalam kalangan netizen malah turut mendapat liputan meluas di media massa.
Selaku penganjur ini, kami berasa amat kesal perkara ini menjadi isu sangat besar sehingga mencetuskan perang mulut membabitkan banyak pihak dan Suhaimi sendiri yang sangat kami hormati secara peribadi.
Selepas mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal ini di masa akan datang, kami bersepakat untuk merehatkan Suhaimi daripada konsert kali ini.
Keputusan ini juga diambil untuk memberi sedikit ruang kepada dirinya atas persetujuan bersama dengan kedua belah pihak setelah berbincang dengan teliti.
Berhubung dengan Suhaimi
Bagi menjawab pertanyaan media, mereka sebagai penganjur berpendirian, kontroversi itu pada mulanya dilihat sebagai isu kecil daripada keterlanjuran khilaf yang tidak disengajakan atas faktor peribadi.
Menurutnya, ia tidak sedikitpun mengurangkan keyakinan mereka untuk bergandingan dengan beliau bagi menjayakan penganjuran konsert amal itu.
Untuk pengetahuan semua, sepanjang bekerjasama dengan Suhaimi, kami mengenali karakter dirinya iaitu seorang yang sangat komited dalam menyokong sebarang program berunsurkan dakwah dalam memperjuangkan irama nasyid.
Dia juga kami sifatkan sebagai artis yang memiliki karisma dan berbakat besar.
Pihaknya ada berhubung dengan Suhaimi baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi yang melanda selain untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai pembabitan beliau dalam konsert ini.
Salah faham segera diselesaikan
Mahmud juga berharap salah faham yang timbul dapat diselesaikan segera.
Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan dan kematangan Suhaimi untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dengan penuh berhemah dan integriti.
Kami sangat optimis dan berharap supaya segala salah faham yang terjadi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Sumber: Harian Metro