Seorang gadis yang dikenali sebagai Syamira Safiya, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan fitnah terhadap Neelofa dan PU Riz, baru-baru ini. Menurut gadis tersebut, segala kenyataan yang dikeluarkan olehnya adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Artikel berkaitan: Individu Sebar Fitnah Neelofa Nikah Di Kelantan Akhirnya Mohon Maaf
Susulan daripada permohonan maaf secara terbuka itu, Neelofa dan PU Riz telah memaafkan gadis tersebut seikhlas hati mereka.
Jauh lagi perjalanan
Di Instagram Story, Neelofa memuat naik satu posting bahawa dia sudah memaafkan gadis tersebut seikhlas hatinya. Tambahnya, gadis itu masih muda dan perjalanan hidupnya masih jauh. Ujar Neelofa lagi, meskipun kontroversi tersebut sangat pahit buat dirinya, dia menganggap perkara yang berlaku itu mempunyai hikmah yang tersirat.
Setuju!
Sementara itu, posting yang dimuat naik oleh Neelofa itu turut dikongsikan oleh PU Riz di Instagram Storynya. Menurut PU Riz, dia bersetuju dan mengambil pendekatan yang sama iaitu memaafkan gadis tersebut meskipun dia dan keluarga telah difitnah di media sosial sejak minggu lalu.
Jelasnya lagi, mereka sekeluarga menganggap gadis tersebut telah sedar dengan kesilapan dan tindakan yang dilakukan. Oleh itu, mereka bertindak memaafkan gadis itu. Ujarnya lagi, gadis tersebut juga telah tampil meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama. PU Riz juga berharap tidak ada lagi perkara berbangkit selepas ini.
Mengulas mengenai status hubungan PU Riz dengan Neelofa, kedua-dua belah pihak masih belum memberikan sebarang komen dan ianya akan terjawab sebaik sahaja keluarga kedua belah pihak mencari titik penyelesaian.