berita

Baru Selesai Ambil Suntikan Besarkan Otot Punggung, Lelaki Ditemui Mati Dalam Bilik Hotel

January 26th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang lelaki yang baru selesai mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung daripada peniaga kosmetik ditemui meninggal dunia dalam bilik sebuah hotel di Teluk Intan, Perak.

Mangsa minta izin rehat dalam bilik

Foto: Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri

Memetik laporan Bernama kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang (24 Januari 2022) itu hanya disedari rakan mangsa selepas mendapati lelaki yang berperwatakan lembut itu tidak lagi bernafas dalam keadaan terbaring di katil.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri, mangsa yang berusia 31 tahun bersama rakan lelakinya telah datang ke hotel berkenaan untuk mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung daripada seorang wanita dari Melaka dengan kos RM500 untuk satu suntikan.

Si mati meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat selepas selesai suntikan pada kira-kira pukul 12 tengah hari sambil ditemani rakannya manakala manakala wanita terbabit keluar hotel untuk pulang ke Melaka.

Mangsa disahkan meninggal dunia

Sekadar gambar hiasan

Bagaimanapun, pada jam 3 petang, peniaga kosmetik berkenaan datang semula ke hotel tersebut selepas dimaklumkan bahawa mangsa tidak bernafas dan sudah tidak bergerak. Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa terbaring di atas katil dengan memakai baju dan tuala serta bertutup dengan selimut.

Kematian mangsa disahkan oleh pegawai kesihatan dan mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah disebabkan paru-paru bengkak dan berair namun setakat ini, doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Sumber: Bernama

SKIP THIS AD ×