Selepas menjalani pembedahan memasukkan bateri atau perentak jantung pada minggu lalu di Hospital Sultan Idris Shah, pelakon dan pelawak, Ebby Yus mengakui ada perkembangan positif terhadap tahap kesihatannya.
Artikel Berkaitan: Keputusan Prosedur Pemasangan Bateri Pada Jantung Ebby Yus Diketahui Bulan Hadapan
Baru seminggu lebih jalani pembedahan
Memetik laporan Berita Harian, Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid memberitahu masih ada beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan seperti berdiri lama dan berjalan terlalu jauh tanpa bantuan orang lain.
Baru seminggu lebih saya menjalani pembedahan dan luka masih perlu dicuci di hospital. Temujanji mendapatkan rawatan susulan saya masih perlu pergi, yang terdekat pada bulan depan. Selepas pembedahan nampak ada sedikit perubahan. Tapi, disebabkan saya banyak penyakit lain, jadi mungkin akan ambil masa.
Setakat ini, saya kena jaga bahagian luka daripada pembedahan. Alhamdulillah pening pun semakin baik, cuma hendak berdiri lama masih tak boleh kemungkinan disebabkan sel darah merah kurang. Setakat berjalan dalam rumah boleh lagi, tapi kalau jauh kena guna kerusi roda.
Berbicara mengenai kesan sampingan selepas pembedahan pula, Ebby berkata, dia mengalami bengkak pada kaki dan tangan, selain berdepan kesukaran untuk tidur.
Kesan sampingan ada juga sikit. Antaranya, bengkak pada kaki dan tangan selepas pembedahan, tapi sekarang Alhamdulillah sudah surut. Selepas pembedahan saya tak boleh tidur dan mungkin dalam tempoh sebulan hingga dua bulan ini, tangan tak boleh hendak angkat sangat.
Ujar Ebby, dia bersyukur hampir keseluruhan kos pembedahan memasukkan perentak jantung ditanggung Kementerian Kesihatan (KKM).
Kos keseluruhan pembedahan adalah RM38,000, tapi KKM menampung sebanyak RM33,000. Baki dalam RM5,000 saya perlu keluarkan duit sendiri, tapi dengan bantuan keluarga dan rakan.
Sumber: BH Online