Umum mengetahui, bekas vokalis kumpulan Jinbara iaitu Tia, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.17 malam tadi akibat masalah kanser hati.
Artikel Berkaitan: Tia Jinbara Meninggal Dunia
Menerusi laporan BH Online, isteri kepada arwah iaitu Suzan Ahmad berkata, harapannya untuk melihat suami kembali sihat tidak kesampaian.
Baru tubuh tabung bantuan
Menurut Suzan yang juga bekas wartawan, pihaknya baru sahaja menubuhkan tabung bantuan Tia Jinbara bagi mencari dana berjumlah RM250,000 untuk membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan di Hospital Medanta, New Delhi, India. Ujar Suzan lagi, dia tidak menyangka arwah akan pergi secepat ini.
Saya tak sangka arwah pergi secepat ini. Namun, saya reda, mungkin inilah jalan terbaik buatnya daripada menanggung kesakitan.
Takdir Allah tiada siapa dapat menduga. Pada siangnya, keadaan kesihatan arwah masih stabil, namun doktor mendapati arwah mengalami pendarahan dalaman.
Ketika doktor sedang memberikan rawatan, ketika itulah arwah menghembuskan nafas terakhir. Saya memang berada di sisi arwah.
Tambah Suzan, dia juga sanggup berkorban mendermakan hatinya buat arwah suami demi kasih, sayang dan cinta tidak berbelah-bahagi.
Meskipun berdepan risiko tinggi, Suzan bersedia kehilangan nyawa, asalkan suaminya dapat terus bernyawa.
Katanya, berdasarkan beberapa kriteria menerusi pembacaan, dirinya layak mendermakan hati kerana memiliki darah sama iaitu A+ dan keadaan kesihatannya juga baik.
Jika itu (derma hati) dapat bantu selamatkan nyawa Tia, saya sanggup lakukan apa sahaja demi pastikan suami kembali sihat. Saya tidak boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa.
Saya tak nak hanya melihat suami ‘pergi’ tanpa berusaha. Jika ditakdirkan nyawa saya tidak panjang selepas pembedahan pemindahan hati, saya reda dan bersedia kerana anak-anak pun sudah besar.
Sumber: BH Online