Pelakon dan penyanyi, Harissa Adlynn mengakui tidak menyangka namanya bakal tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-33.
Artikel Berkaitan: Harrisa Adlyn Tampil Menari Dalam ICSYVMY, Netizen Anggap ‘Multi-Talented’ – ‘Berlakon Boleh, Menyanyi Pun Sedap’
‘Saya tak jangka pun akan tercalon’
Ketika ditemui OhBulan!, Harissa atau nama lengkapnya Harissa Adlynn binti Halim, 21, bagaimanapun meluahkan rasa syukur atas rezeki dan peluang selama tiga tahun dia berkecimpung dalam dunia seni.
Saya tak jangka pun akan tercalon dan sebenarnya saya tahu pun sebab ibu yang nampak satu hantaran di media sosial.
Awal-awal tu memang saya tak percaya tapi bila periksa rupanya memang betul. Saya doakan supaya saya dapat sesuatu daripada itu dan kalau tidak pun saya sangat bersyukur kerana tercalon.
Menganggap dirinya masih baharu dalam bidang lakonan, Harissa mengakui dia tidak meletakkan harapan untuk memenangi dalam kategori yang dipertandingkan namun akan menjadikan pencalonan itu sebagai satu usaha untuk mengembangkan lagi kariernya.
Saya tak ada kata-kata nak menggambarkan perasaan saya ketika ini, tapi saya percaya ini adalah salah satu langkah untuk saya menjadi lebih baik dalam bidang lakonan. Saya tercalon pun menerusi filem pertama saya jadi saya tidak letakkan apa-apa harapan.
Kalau saya menang, Alhamdulillah tapi jika tidak saya tak kecewa sebaliknya saya tumpang gembira dengan kemenangan pelakon lain.
Mereka yang tercalon tu merupakan pelakon yang sangat bagus dan filem mereka pun sangat hebat. Saya sebenarnya bersaing dengan mereka yang sangat hebat.
Dalam pada itu, Harissa memberitahu keluarga dan peminat turut menumpang gembira dengan kejayaannya dan berharap agar dirinya terus maju dalam bidang yang diceburi.
Pelakon berusia 21 tahun itu meluahkan rasa terima kasih kepada pengarah, penerbit dan produksi filem The Lord Musang King yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjayakan filem tersebut.
Sekadar info, Harissa akan bersaing bersama pelakon Trishaa Ooi (Janna Endoro), Teoh Ying Pei (The Lord Musang King), Zera Hariz (Syif Malam) dan Takahara Suiko (Imaginur).