Membawakan watak isteri dicurangi dalam drama ‘Curang Tanpa Niat’, pelakon Mira Filzah mengakui perkara itu tidak menggugat kepercayaannya terhadap suami tercinta, Wan Emir Astar.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mira Filzah Rancang Tambah Anak Kedua – ‘InsyaAllah Kalau Ada Rezeki Tahun Depan’
Artikel Berkaitan: Mira Filzah Kongsi Pengalaman Pertama Kali Buat Umrah Sebagai Seorang Ibu & Isteri – ‘Tawaf Tujuh Kali Sambil Dukung Amir’
Percaya suami
Mira atau nama lengkap Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, berkata, setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga perlu saling mempercayai antara satu sama lain.
Saya memang percaya dengan suami dan meletakkan kepercayaan kepadanya. Apabila berlakon itu ada juga rasa takut, tetapi bagi saya perkara begini (lakonan) adalah dua perkara berbeza dengan realiti.
Hubungan dengan suami, saya tidak menggabungkan antara soal kerjaya dan hal peribadi. Jadi pada saya tidak timbul rasa kurang selesa dalam diri saya selepas melakonkan watak isteri dicurangi suami.
Mira berkata demikian ketika ditemui di sidang media tiga buah drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.
Komunikasi penting
Tutur ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, dia dan suami amat mementingkan komunikasi dalam rumah tangga yang dibina sejak September 2020.
Suami saya tahu saya berlakon dalam cerita ini (tentang kecurangan). Saya sangat bersyukur kerana dia banyak memberi sokongan.
Seperti saya katakan, saya sangat percaya dengan suami dan meletakkan kepercayaan kepada dia.
Bagi saya komunikasi itu sangat penting dan sebagai pasangan yang sudah berumah tangga, saya juga sangat mementingkan komunikasi dengan suami.
Imbas kembali, Mira dan Wan Emir selamat bergelar suami isteri pada 3 September 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Wan Khai Amir yang kini berusia dua tahun.