Foto: Free Malaysia Today
Mayat bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan dalam sebuah bagasi di tepi laut Tanjung Batu Logpond, Tawau pada 8 Jun lalu.
Mayat bayi dalam bagasi
Foto: Utusan Malaysia
Memetik laporan Free Malaysia Today, mayat yang masih bertali pusat itu ditemui oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian. Menurut Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, saksi bersama tunangnya ternampak sebuah bagasi berwarna merah jambu terapung di laut berhampiran jeti berkenaan.
Sepasang kekasih yang menjumpai sebuah beg berwarna merah jambu terapung di permukaan laut berhampiran jeti di kawasan terbabit telah membuka beg itu dan terkejut melihat keadaan bayi itu yang dipercayai sudah meninggal dunia.
Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima berita mengenai penemuan mayat tersebut. Pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan bayi perempuan itu seberat kira-kira satu kilogram dan panjang kira-kira 36 sentimeter.
Turut ditemui di dalam beg berkenaan adalah seketul batu seberat lebih 1kg yang dibalut bersama bayi menggunakan sehelai kain batik dipercayai bertujuan untuk menenggelamkannya ke dasar laut.
Mayat bayi berkenaan kemudian dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya. Difahamkan, kes ini disiasat Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-752 222 atau mana-mana balai polis.
Sumber: Free Malaysia Today, The Sun Daily