berita

Bayi Dua Bulan Maut Akibat Kecuaian Pengasuh, JKM Sita Taska 21 Hari – ‘Premis Didapati Tidak Berdaftar’

October 16th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

JKM Sita Taska Tidak Berdaftar

Beberapa hari yang lalu kita dikejutkan dengan berita mengenai seorang bayi yang baru sahaja berusia dua bulan disahkan maut akibat kecuaian yang dilakukan pengasuh taskanya pada Selasa.

Terbaharu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan pusat asuhan kanak-kanak (taska) yang menjaga kanak-kanak terbabit didapati melakukan kesalahan dan bakal berdepan dengan tindakan.

Artikel Berkaitan: Bayi Dua Bulan Meninggal Dunia Didakwa Kerana Kecuaian Pengasuh

Sita 21 hari

JKM Sita Taska Tak Berdaftar 21 Hari

Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan siasatan awal yang dibuat Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) JKM, taska yang terletak di Seksyen 6, Kota Damansara  itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan taska tidak berdaftar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata premis taska tersebut bakal disita selama 21 hari sebelum tindakan lanjut akan dibuat.

Pihak JKM akan hantar notis pemberitahuan tindakan LAK atau sita pada Isnin dan selepas 21 hari, sekiranya taska itu tidak mengemukakan bukti atau perakuan pendaftaran, maka tindakan lanjut ialah seperti kompaun atau tindakan pendakwaan berlandaskan undang-undang.

Sehubungan dengan itu, Aiman Athirah menasihatkan kepada ibu bapa di luar sana untuk menghantar anak-anak mereka ke taska yang berdaftar dengan JKM yang pastinya akan mematuhi segala prosedur pengasuh dan penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan.

Kementerian berharap ibu bapa peka dan hanya menghantar anak-anak ke taska berdaftar dengan JKM, kerana setiap taska yang berdaftar akan dipantau oleh agensi, selain pengasuh juga telah menjalani kursus asuhan.

Sebelum mendaftar ke taska, ibu bapa harus semak dengan pengusaha sama ada mereka punyai perakuan pendaftaran atau boleh semak dengan JKM dan portal JKM.

Terdahulu, seorang lelaki yang bernama Hafizi Rosli tampil memuat naik hantaran di Instagram (IG) melaporkan anak kepada kakaknya yang berusia dua bulan, Qaseh Aulia Faizul dilaporkan meninggal dunia.

Difahamkan, kematian kanak-kanak tersebut berpunca daripada sukar bernafas akibat kelalaian pihak pengasuh yang didapati meninggalkan mangsa tanpa pengawasan selama satu jam.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×