Kisah pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah pernah viral di media sosial suatu ketika dahulu apabila dia terpaksa menggadai barang kemas untuk menampung kos rawatan penyakit kanser rahim yang dihidapnya.
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, walaupun doktor telah mengesahkan pelakon tersebut sudah bebas kanser sejak April tahun lalu, Mak Jah kini dipercayai melakukan kerja amal iaitu mencuci telekung di pasar raya dan kawasan rehat selain menyertai beberapa aktiviti seni.
Tidak berkemampuan dari segi kewangan
Menurut Mak Jah, keadaan kesihatannya kini semakin baik. Namun, tiada sebarang tawaran berlakon diterima olehnya lagi. Tambahnya, pihak produksi mungkin mempunyai perasaan bimbang sekiranya dia jatuh sakit di set penggambaran selepas ini.
Alhamdulillah, keadaan kesihatan penyakit saya beransur baik. Untuk berlakon, buat masa sekarang saya memang tiada tawaran. Jadi, bila dah tak kerja saya memang tak boleh nak tebus semula barang kemas sudah digadai itu kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan. Lagi pun, dengan keadaan kesihatan saya yang sakit pastinya pihak produksi pun bimbang nak beri tawaran. Mana tahu, saya jatuh sakit di lokasi. Malah, saya pun sebenarnya tak mahulah menyusahkan orang.
Di samping itu, pelakon veteran tersebut tidak mahu menyusahkan mana-mana individu sekiranya dia jatuh sakit semula. Mengenai barang kemas yang digadai, Mak Jah memaklumkan bahawa dia masih belum mampu untuk mengambil kesemua barang itu semula disebabkan tiada pekerjaan.
Melakukan pemeriksaan dua kali sebulan
Meskipun menerima berita gembira bebas dari penyakit kanser, Mak Jah masih perlu ke hospital dan klinik kesihatan sekurang-kurang dua kali sebulan untuk mengikuti rawatan pemeriksaan berkala.
Walaupun sudah tidak berlakon, namun saya masih juga sertai aktiviti seni yang termampu dilakukan. Dapatlah juga saya mencari sumber kewangan bagi menampung kehidupan. Malah, ada juga rakan artis lain yang membantu termasuk anak-anak. Setiap minggu saya akan ke beberapa surau di pusat membeli-belah atau kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi menghantar telekung bersih dan mengambil yang kotor dibawa balik ke rumah untuk dibasuh. Melakukan kerja amal ini sangat menenangkan jiwa saya walaupun hanya membersihkan kelengkapan untuk orang bersolat.
Bercerita mengenai aktiviti yang dilakukan setiap hari pula, Mak Jah memberitahu bahawa dia masih sertai aktiviti seni setakat yang termampu sahaja. Manakala, setiap minggu dia juga akan melakukan aktiviti kebajikan seperti membasuh telekung di pasar raya dan kawasan rehat. Perasaan tenang dan selesa turut dinyatakan oleh Mak Jah semasa melakukan kerja kebajikan itu.
Sumber: Harian Metro