berita

‘Beberapa Kawasan Masih Terkawal’ – Menteri Besar Selangor Minta MKN Kaji Semula Pelaksanaan PKPB

October 12th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) dikenakan ke atas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Berikutan daripada pengumuman tersebut, Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan media meminta MKN mengkaji semula keputusan PKPB di negeri berkenaan.

Hantar cadangan balas

Menteri Besar Selangor iaitu YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan media mengakui agak terkejut dengan keputusan mendadak yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri Selangor akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN meminta mereka mempertimbangkan semula keputusan pelaksanaan PKPB tersebut. Tambah beliau lagi, tidak semua kawasan di negeri Selangor berada dalam zon merah dan masih ada beberapa kawasan yang masih terkawal.

Kerajaan Negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

Sama-sama membendung wabak Covid-19

Sementara itu, kerajaan negeri berharap agar semua pihak lebih bersedia dengan sebarang perubahan yang dilakukan supaya kita dapat membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana.

Kenyataan media


Sumber: Dato’ Seri Amirudin Shari

SKIP THIS AD ×