berita

Bekas Diplomat Berpangkat ‘Datuk’ Ditahan Polis, Disyaki Tanam 100 Pokok Ganja Keliling Rumah

May 24th, 2022 | by Shahira
Isu & Kontroversi

Sekadar gambar hiasan

Seorang bekas diplomat negara yang bergelar Datuk bersama anak lelakinya telah ditahan polis susulan penemuan kira-kira 100 pokok ganja yang ditanam sekitar rumahnya dekat Janda Baik, Pahang.

Tanam 100 pokok ganja

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Harian Metro, perkara tersebut terbongkar ketika operasi Ops Tapis dilakukan oleh pihak Balai Polis Bukit Tinggi dan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di kediaman suspek.

Hasil siasatan awal mendapati, pokok ganja berkenaan dipercayai ditanam anak lelakinya di sekeliling rumahnya. Menurut sumber, serbuan itu dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar jam 6 petang kelmarin.

Difahamkan polis bertindak menahan lelaki warga emas terbabit sebelum menemui deretan beberapa batas tanah yang dipercayai digunakan untuk menanam pokok ganja. Turut ditemui deretan pokok ganja yang di tanam di sekeliling kediaman itu.

Polis turut menemui bekas berisi cecair dipercayai minyak ganja, selain daun ganja yang sudah dikeringkan. Pihak polis percaya suspek kemungkinan melakukan penanaman itu secara serius susulan penemuan bekas plastik semaian di lokasi diserbu.

Ditahan reman sehingga 28 Mei

Sekadar gambar hiasan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman iaitu Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana suspek memperoleh bekalan pokok ganja terbabit selain apakah tujuan ia ditanam secara besar-besaran.

Difahamkan, suspek yang berusia 78 tahun telah ditahan di di rumahnya Sabtu lalu manakala anak lelakinya yang berusia 53 tahun pula ditahan di Shah Alam, semalam. Suspek direman sehingga 28 Mei ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. Difahamkan, suspek dahulu pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today, Berita Harian

SKIP THIS AD ×