Dalam mendepani kos sara hidup yang semakin tinggi, inisiatif pekerjaan secara sambilan atau part-time bukanlah satu perkara yang asing buat rakyat Malaysia. Situasi sebegini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia saja, malah turut melanda pelbagai negara lain di seluruh dunia.
Perkembangan teknologi serta permintaan pasaran yang semakin meningkat juga telah menyebabkan ramai orang memilih untuk menjadikan pekerjaan secara sambilan ini sebagai pekerjaan tetap melalui kaedah pekerjaan bebas atau dikenali sebagai ‘freelance’. Fenomena ini juga lebih dikenali sebagai ‘ekonomi gig’ di mana pasaran pekerjaan adalah berdasarkan kontrak jangka masa pendek dan pekerjaan bebas.
Ekonomi gig terus jadi fenomena di Malaysia
Kalau korang nak tahu, ekonomi gig ini mula mendapat perhatian di Malaysia disebabkan evolusi teknologi yang semakin memuncak. Tambahan pula, kemunculan syarikat start-up yang berasaskan ekonomi bersama (sharing economy) seperti FoodPanda dan perkhidmatan e-hailing Grab telah membuka peluang baru kepada orang ramai untuk menjana pendapatan sampingan.
Berdasarkan laporan Bank Dunia, lebih kurang 26% populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) dan bilangan ini terus meningkat kerana semakin ramai pekerja hari ini gemar memilih pekerjaan yang lebih fleksibel.
Jadi tak keterlaluan rasanya kalau admin katakan, sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang suka dengan konsep ekonomi gig sebab mereka tak lagi terikat dengan peraturan syarikat yang ketat, mempunyai kebebasan menyusun masa sendiri serta berpeluang menjana pendapatan tanpa had. Pendek kata lebih fleksibel!
Perlu lebih banyak penambahbaikan
Dengar macam best je semua pasal ekonomi gig ni kan? Tapi sebenarnya masih banyak yang perlu diperbaiki. Kalau korang nak tahu, sebahagian besar daripada komuniti ekonomi gig ini terdiri daripada pekerja tidak berkemahiran seperti penghantar makanan dan pemandu e-hailing.
Ia sebenarnya akan memberi kesan secara langsung kepada perjalanan kerjaya seseorang kerana tiada sebarang nilai tambah atau kenaikan pangkat yang berjaya diraih walaupun mereka sudah bekerja untuk tempoh yang lama.
Selain itu, pekerja gig juga tidak mempunyai sebarang perancangan persaraan seperti pekerja biasa yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Di Malaysia, dijangkakan hanya 10%-20% pekerja saja yang mempunyai perancangan persaraan dan sebahagian besar mereka tidak memiliki sebarang insuran untuk menampung sebarang kecelakaan.
Mula mendapat perhatian
Menurut Dr Mahathir Mohamad, kerajaan kini sedang mengkaji untuk merangka undang-undang bagi mengelak berlakunya penindasan majikan ke atas kebajikan pekerja ekonomi gig demi membela nasib dan menjaga kebajikan pekerja dalam sektor itu di negara ini.
Tambah beliau lagi, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).
Skim i-Saraan beri sinar baru kepada pekerja gig
Tak payah la kerja sendiri, takde EPF, dah tua nanti susah!
Pernah kena sound macam ni? Jangan risau, walaupun bekerja sendiri, korang sebenarnya layak membuat simpanan persaraan di KWSP. Sebabnya golongan yang menerima pendapatan bulanan tidak tetap seperti pemandu teksi, petani, penghantar makanan dan pekerja freelance lain juga dah boleh mencarum menerusi Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan).
Menerusi skim ini, korang digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli KWSP secara sukarela dan menyimpan bagi tujuan persaraan. Paling menggembirakan, kerajaan menawarkan tambahan 15% ke atas caruman tahunan dengan jumlah maksimum sehingga RM250 setiap tahun sehingga 2022 bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun. Selain itu, korang juga boleh dapat pengecualian cukai pendapatan sehingga RM4,000 dan bantuan kematian sebanyak RM2,500 pun ada tau!
Lebih fleksibel dan tiada paksaan
Apa yang admin suka sangat pasal i-Saraan ni ialah korang tak terikat dengan apa-apa komitmen atau paksaan untuk menyimpan. Pendek kata, korang boleh je mencarum di KWSP mengikut amaun dan kemampuan sendiri tanpa had minimum sehingga RM60,000 setahun.
Selain daripada duit simpanan yang dicarumkan tu, korang juga boleh menikmati dividen tahunan ke atas simpanan persaraan korang tadi sama macam ahli KWSP yang lain. Best kan? Dengan inisiatif skim i-Saraan ini, kami yakin simpanan kewangan korang akan bertambah baik biar pun bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
Daftar i-Saraan sekarang!
Eh, nak daftar skim i-Saraan ni mudah je tau. Korang cuma perlu pergi ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran dan isi borang. Lepas dah siap, korang boleh mula mencarum menerusia perbankan atas talian, atau kaunter bank terpilih dan boleh juga terus ke kaunter KWSP.
Haa.. senang je kan? Sekarang semua orang boleh membuat simpanan hari tua seperti orang lain yang bergaji tetap. Ingat walaupun bekerja sendiri, jangan lupa untuk membuat caruman wang simpanan melalui i-Saraan di KWSP. Sebarang maklumat lanjut, layari laman sesawang i-Saraan sekarang juga!