berita

Belangsungkawa Siti Sarah Raissuddin, ‘Bidadari Syurga Shuib’

August 10th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Mula dikenali ramai sejak tahun 2001, nama Siti Sarah Raissuddin sentiasa mekar menjadi pujaan peminat. Tatkala industri muzik didominasi lagu rentak balada dan rock ‘jiwang’, Siti Sarah telah tampil membawa keunikan tersendiri dengan menyuntik elemen R&B dalam muzik pop nyanyiannya.

Bintang RTM ubah kehidupan Sarah

Siti Sarah merupakan anak kepada Raisuddin Hamzah yang merupakan seorang penyanyi sekitar tahun 1980-an. Bakat Siti Sarah dalam industri muzik mula dicungkil menerusi pertandingan Bintang URTV 2001 peringkat Zon Timur di mana beliau merupakan juara setelah menyanyikan lagu Indonesia, “Ku Akui”.  Kejuaraan itu turut membawanya ke peringkat akhir pertandingan tersebut yang berlangsung pada September 2001.

Selepas menyertai Bintang RTM dan Bintang URTV 2001, Siti Sarah menandatangani kontrak rakaman bersama NAR Records pada awal 2002. Pada tahun tersebut, Sarah telah mengeluarkan album sulungnya dan lagu ‘Kesetiaan’ merupakan single pertamanya. Pada tahun 2003, album keduanya iaitu Mimpi Pun Sama telah dikeluarkan. Album tersebuttelah mencatat jualan sebanyak 12,000 unit. Antara lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah “Jangan Kau Mimpi” dan “Saat Hilang Cintamu”. Lagu kegemaran ramai sehingga sekarang! Betul tak?

Pada tahun 2005, album terakhirnya iaitu Tiada Dikau Tiada Makna telah dikeluarkan. Lagu “Bersamamu” dan “Tinggal Serpihan” dikeluarkan sebagai single utama pula pada waktu tersebut. Bagi menghiburkan semula para peminat, Sarah nekad untuk menghasilkan sebuah album kompilasi pertamanya iaitu Suatu Perjalanan. Album itu dikeluarkan pada tahun 2008.

Selain Bintang RTM, Sarah turut menyertai pertandingan realiti musim kedua One in a Million yang menyaksikan artis rakaman termasuk beliau bersaing dengan muka-muka baru untuk meraih RM1,000,000 sebagai pembiayaan kerjaya muzik. Beliau meraih tempat ketiga pada masa tersebut. Selain di Malaysia, penyanyi kecil molek ini turut bertanding di pentas antarabangsa iaitu World Championship of Performance Arts (WCOPA). Sarah berjaya membawa pulang tiga emas buat Malaysia.

2016 tahun untuk Sarah bangkit

Pada tahun 2016, nama Siti Sarah mula meniti kembali di bibir peminat apabila menyertai program realiti TV popular Gegar Vaganza 3. Sarah berjaya merangkul naib juara di pentas akhir program tersebut. Sejak itu juga, Sarah dilimpahkan rezeki dengan pelbagai tawaran. Di samping itu, dia turut mengusahakan beberapa perniagaan bersama suaminya. Pada tahun 2018, Siti Sarah muncul dengan lagu bertajuk “Semakin” ciptaan suaminya sendiri. Beliau juga berduet bersama suaminya menerusi lagu “Semakin Benci Semakin Cinta” hasil nukilan Ajai. Lagu tersebut baru sahaja dikeluarkan pada bulan Jun yang lalu.

Buat pengetahuan korang, Sarah berjaya melakar sejarah tersendiri apabila memenangi beberapa kategori utama dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). Beliau juga berjaya menggondol anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003 (AIM 2003). Selain itu, beliau juga berjaya menerima anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2003 (APM 2003). Beliau juga merupakan satu-satunya artis baru yang turut tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Siti Nurhaliza pada tahun tersebut.

Bercerita mengenai soal kehidupan Siti Sarah, beliau mendirikan rumah tangga dengan Shuib Sepahtu pada 26 Februari 2011. Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. Namun siapa sangka, perkahwinan yang dibina selama 11 tahun itu berakhir dengan perpisahan buat selama-lamanya. Sarah disahkan meninggal dunia semalam iaitu lebih kurang pukul 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM selepas beberapa hari bertarung nyawa melawan jangkitan COVID-19. Jenazah Sarah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak selepas waktu Zuhur semalam.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×