Bagi Cloud, semestinya terubat rindu apabila penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Rain membuat ‘comeback’ ke Malaysia selepas lima tahun.
Kehadiran artis popular itu ke Kuala Lumpur adalah bersempena acara Betadia Night yang diadakan di Axiata Arena, Sabtu lalu.
Lima lagu
Memukau hampir 8,000 penonton yang hadir, Rain tampil bersahaja dengan bersut hitam kira-kira jam 8.40 malam di pentas utama.
Biarpun konsert itu berlangsung pada sebelah malam namun peminat mula beratur sejak 6.30 petang biarpun basah lencun gara-gara hujan lebat.
Acara Betadia Night membuka tirai dengan pertunjukkan lampu LED istimewa berwarna warni.
Rain atau nama lengkapnya adalah Jeong Ji-hoon mula memukau penonton dengan lagu hit miliknya, Rainism. Konsert diteruskan lagi dengan lagu popular lain seperti Gang, How To Avoid The Sun, Hip Song dan La Song.
Peminat tidak dapat menahan rasa teruja lalu menjerit dan menari bersama.
Seluruh ruang Axiata Arena diterangi dengan cahaya lampu stick yang diberikan kepada setiap penonton yang hadir ketika di perkarangan pintu masuk.
Tayang badan sasa
Rain bukan sahaja menyanyi tetapi ‘belanja’ peminat dengan menanggalkan butang bajunya sehinggakan menampakkan bahagian tubuh badan sasanya yang seksi.
Momen itu ternyata membuatkan penonton naik ‘sheikh’ lalu menjerit sehabis kuat.
Selain Rain, acara Betadia Night turut dimeriahkan dengan dua penyanyi tempatan iaitu Andrew Tan dan Jess Less.
Andrew merupakan penyanyi yang mula menceburi bidang seni sejak 2006 selepas memenangi pertandingan Astro Talent Quest di Malaysia dan TVB International Chinese New Talent Singing Championship di Hong Kong.
Manakala Jess Lee pula juara dalam pertandingan nyanyian One Million Star musim ketujuh dan berjaya sebelum melebarkan sayap kerjaya di Taiwan.
Sepanjang kerjaya muzik Rain, dia berjaya menghasilkan tujuh album dan 28 single.
Terdahulu, media melaporkan konsert Betadia Night yang dianjurkan Betadia Malaysia adalah secara percuma, malah tiket yang dikeluarkan telah habis ditebus dalam masa beberapa jam sahaja.
Untuk info, Betadia Malaysia merupakan syarikat Pembekal Insuran Digital yang ditubuhkan pada tahun 2020. Betadia Malaysia begitu komited dalam menyediakan perkhidmatan pelanggan dan pelan pelaburan berteraskan kualiti tinggi serta menjalankan pelbagai sektor yang boleh mengukuhkan pulangan jangka masa yang panjang.
Selain itu, Betadia turut menjalankan penilaian risiko untuk pelan pelaburan pelanggan dan menyediakan mereka dengan pelan pelindungan kewangan yang paling sesuai dan selamat. Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi Betadia https://www.betadia.com atau Facebook https://www.facebook.com/betadiamy.