Sejak minggu lalu, nama Aliff Aziz mencuri perhatian ramai apabila dia didakwa menjadi ‘anak emas’ sebuah stesen televisyen tempatan. Bukan itu sahaja, lagu-lagu tugasan yang diberikan kepada Aliff dalam program Gegar Vaganza musim kelapan turut didakwa mudah dan selesa buat dirinya saban minggu.
Tidak mempunyai kebebasan pilih lagu
Bagi menjawab spekulasi dan dakwaan yang viral itu, Aliff memberitahu dia tidak mempunyai kebebasan atau hak memilih lagu untuk dinyanyikan pada program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). Sebaliknya, dia menerima tugasan itu daripada pihak produksi. Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz turut menegaskan bahawa tidak timbul istilah peserta kegemaran kerana sering mendapat lagu mudah untuk dibawakan setiap minggu.
Sama seperti peserta lain, saban minggu kami menerima tugasan dan lagu daripada pihak produksi. Mungkin isu ini timbul kerana ada yang terfikir kenapa saya diberikan lagu-lagu begitu. Jika dilihat semula, pada minggu ketiga saya perlu menyanyikan lagu Jinbara yang ternyata berbeza dengan genre saya. Sehinggakan, Datuk Shafinaz meminta saya membawa lagu itu dengan berhati-hati.
Minggu kelima juga saya dapat lagu yang bukan genre saya. Tapi saya faham dan menghormati semua yang beri pandangan. Cuma kalau kita lihat semula graf, ada waktu lagu susah bukan saya seorang tapi semua peserta.
Kurang senang dengan tohmahan netizen
Di Twitter, Bella Astillah yang juga isteri kepada Aliff meluahkan rasa kurang senang dengan tohmahan segelintir pihak yang mendakwa suaminya sebagai peserta kegemaran pihak Astro. Menurut Bella, kalau Aliff peserta kegemaran sudah pasti suaminya itu akan mendapat lagu yang hebat. Ujar Bella lagi, kalau diikutkan dia mahu Aliff menyanyikan lagu ‘Nirmala’ nyanyian Dato Sri Siti Nurhaliza di pentas Gegar Vaganza. Namun, semuanya telah ditentukan oleh pihak produksi.
Bella turut meluahkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sentiasa faham dan menyokong Aliff sepanjang konsert Gegar Vaganza bersiaran. Tambah Bella, setiap pertandingan ada adatnya menang mahupun kalah. Jadi, Aliff akan cuba lakukan persembahan yang terbaik setiap minggu.
Sumber: Bella Astillah & Harian Metro