
Penyanyi dan pelakon, Ben Ladin mengakui masalah rambut serius yang dialaminya selama ini telah memberi impak terhadap keyakinan diri.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ben Ladin Nafi ‘Upload’ Konten Cukur Rambut Untuk Tujuan Marketing – ‘Ini Bukan Perkara Main-Main’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tak Hidap Kanser Tahap Tiga, Tapi Masalah Serius Berkaitan Rambut’ – Ben Ladin
Malu keluar rumah

Ketika ditemui OhBulan!, Ben atau sebenarnya Muhammad Benladen Munshi Shaihan, 25, memaklumkan masalah tersebut turut menyebabkan tekanan emosi.
Bagaimanapun kehadiran isteri, Anna Shida telah memberi Ben kekuatan dan turut menyuntik semangat untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Untuk kawal emosi itu susah sebenarnya sebab saya pernah rasa tidak mahu keluar rumah dan kadang kala ambil masa yang lama untuk keluar.
Tetapi isteri saya berkata, saya tak boleh begini, saya perlu bangkit dan keluar sekurang-kurangnya menghirup angin.
Jadi, dialah yang banyak membantu saya sewaktu emosi saya tidak stabil. Sudah pastinya itu adalah titik terendah, namun isteri saya yang banyak membantu.
Ben berkata demikian ketika ditemui di Aglow Hair Clinic, Mid Valley pada Rabu.
Bercerita lanjut, Ben berkata, disebabkan dia kurang yakin terhadap penampilannya, maka dia memilih untuk mengasingkan diri daripada orang ramai.
Agak lama juga sebenarnya (tak keluar rumah), kadang-kadang saya rasa macam tak mahu jumpa orang sebab malu dan rasa tak yakin.
Saya takut orang nampak kepala saya, walaupun saya kerap pakai topi.
Kadang-kadang bila nak keluar tu ambil masa yang lama. Ada juga berbulan saya tak keluar rumah langsung.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Hikayat Benladin ini memaklumkan keadaan tersebut tidak menjejaskan kerjayanya secara keseluruhan, namun beberapa urusan kerja terpaksa disusun semula kerana faktor keyakinan diri.
Tidak terlalu menjejaskan, cuma banyak kerja saya yang tertangguh atau pun saya akan mencari alternatif.
Contohnya, jika ada mesyuarat secara fizikal saya akan minta diadakan secara atas talian atau saya akan tangguhkan.
Terdahulu, dalam temu bual bersama OhBulan! kelmarin, Ben menafikan dakwaan dia menghidap kanser tahap tiga, sebaliknya mempunyai masalah serius berkaitan rambut.
Sebelum ini, Ben telah mencuri perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kesihatannya selepas berkongsi video dicukur botak oleh isteri.








