berita

Bengkak Kaki Dalam Kalangan Warga Tua, Bahaya Atau Tidak? Doktor Ini Beri Penerangan

November 13th, 2019 | by Arini Saleh
Kesihatan & Hidup Aktif

Bagi warga emas yang sudah lanjut usia, kebiasaaannya mereka akan mengalami bengkak pada bahagian kaki apabila duduk atau berdiri terlalu lama. Bengkak pergelangan kaki juga berlaku apabila warga emas mempunyai berat badan yang berlebihan.

Doktor Zubaidi Hj Ahmad menerusi satu posting di Facebook berkongsi fakta mengenai bengkak kaki dalam kalangan warga tua. Beliau turut menjelaskan jenis-jenis ubat yang boleh menyebabkan hal ini berlaku.

Bengkak pergelangan kaki warga tua

(Sekadar gambar hiasan)

“Abang, mak telefon, kata kaki dia bengkak..”

“Jangan risau. Berdiri solat tarawih lama sangat kot”. Itu detik hati saya.

“Tak bahaya ke? Mak ada darah tinggi..”

Saya tergamam. Mungkinkah bengkak di pergelangan kaki berkait dengan penyakit darah tingginya?

Ramai di kalangan warga tua yang mengadu mengalami bengkak di pergelangan kaki. Bengkak ini tidak menyakitkan dan ia akan hilang dengan sendiri setelah beberapa hari, tanpa perlu mengambil apa-apa ubat. Ia tidak bahaya.

Bengkak ini dinamakan ankle edema iaitu pengumpulan cecair pada pergelangan kaki akibat kesan graviti.
Banyak faktor-faktor yang menyebabkan bengkak di pergelangan kaki. Antara puncanya ialah :

1. Berdiri terlalu lama

2. Duduk terlalu lama dalam kereta atau kapal terbang

3. Berat badan yang berlebihan

4. Jika pernah berlaku kecederaan di kawasan itu, bengkak akan lebih mudah berlaku

Tidak bahaya jika bengkak surut

(Sekadar gambar hiasan)

Jika bengkak kaki berlaku setelah berlaku perkara-perkara di atas, ia tidak merbahaya. Selalunya bengkak itu tidak menyakitkan dan akan berkurangan setelah beberapa hari.

“Cakap kat mak, supaya angkat kaki melebihi paras jantung ketika berbaring. Nanti bengkak itu akan hilang secara perlahan-lahan”.

Saya memberikan beberapa saranan-saranan yang boleh dilakukan di rumah. Jika bengkak itu mulai surut, maka ia tidak menunjukkan tanda-tanda bahaya. Selain itu, bengkak kaki boleh dihilangkan dengan melakukan pergerakan pada otot betis supaya darah dapat dipamkan ke jantung iaitu dengan melakukan pergerakan ringan pada sendi-sendi dan otot betis. Urutan yang ringan pada bengkak itu juga membantu melancarkan perjalanan saluran limfatik.

Jika bengkak itu berulang, pesakit boleh menggunakan stokin khas yang boleh didapati dari farmasi. Penjagaan makanan juga penting. Pesakit dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan ‘low-salt diet’. Bagi bengkak yang tidak merbahaya, doktor selalunya akan memberikan ubat Frusemide 40mg (diuretic) yang mana air yang terkumpul akan dibuangkan melalui air kencing. Namun ubat ini mempunyai kesan sampingan dan harus diberikan secara berhati-hati kepada pesakit warga emas, terutama jika mereka mempunyai penyakit kronik. Oleh itu ubat ini hanya digunakan setelah mendapat nasihat doktor.

Jika bengkak itu tidak menyusut saiznya, ia adalah tanda bagi komplikasi penyakit yang lebih serius. Warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi harus mendapatkan pemeriksaan yang lebih teliti di hospital, terutama jika bengkak itu tidak berkurangan setelah beberapa hari. Dikhuatiri, bengkak itu menandakan seseorang itu mengalami masalah jantung, ginjal atau hati yang serius.

Kesan pengambilan ubat

(Foto : medicalnewstoday)

Sebahagian warga emas mengambil beberapa jenis ubat untuk merawat beberapa penyakit kronik mereka. Ada juga antara ubat-ubatan ini yang boleh menyebabkan bengkak di pergelangan kaki. Beberapa ubat yang diberikan doktor juga boleh menyebabkan bengkak pada kaki. Antaranya :

1. Pil hormon replacement therapy (HRT) dan testosterone

2. Pil untuk penyakit darah tinggi seperti calcium channel blockers (seperti nifedipine, amlodipine, diltiazem, felodipine, and verapamil)

3. Pil yang mengandungi steroids

4. Pil rawatan kemurungan jenis MAO inhibitors (seperti phenelzine dan tranylcypromine) dan tricyclics (seperti nortriptyline, desipramine, dan amitriptyline)

Jadi jika berjumpa doktor untuk mengadu masalah bengkak kaki, saya sarankan agar pesakit membawa ubat-ubatan mereka agar doktor yang memeriksa dapat menyemak ubat-ubatan itu. Doktor akan menghentikan ubat-ubatan itu dan mungkin menggantikannya dengan ubat yang lain bagi mengelakkan bengkak di pergelangan kaki berulang. Saya pernah ditanya oleh seorang rakan yang mengadu bengkak di kaki ibunya.

“Doc, ibu I ada bengkak di pergelangan kaki tapi yang peliknya, dia mengadu sakit pada bahagian itu. Bahaya tak?”

Jika bengkak kaki disertai dengan rasa sakit, selalunya ia menunjukkan masalah yang lebih merbahaya, sama ada infeksi dan gout. Pemeriksaan yang rapi harus dilakukan. Jadi saya mencadangkan agar warga tua yang mengalami masalah bengkak di pergelangan kaki agar menjalani pemeriksaan oleh doktor, terutama jika mereka adalah pesakit kronik seperti seperti hypertensi/darah tinggi, diabetes/kencing manis dan hyperkolestrol.

Saya bimbang bengkak kakinya adalah tanda-tanda komplikasi penyakit kronik seperti kegagalan jantung, buah pinggang atau mungkin hati. Doktor akan memberikan rawatan berdasarkan penyakit yang sebenar, dan bukan hanya untuk menghilangkan bengkak di pergelangan kaki sahaja.

Rujukan :

Goldman L. Approach to the patient with possible cardiovascular disease. In: Goldman L, Ausiello D, eds. Cecil Medicine. 23rd ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 48.

Benoit Blondeau; Lawrence L Tretbar; Morgan, Cheryl E.; Simon J. Simonian (2007). Lymphedema: Diagnosis and Treatment. Springer.

Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×