berita

Berang Isteri Fail Cerai, Sukarelawan NGO Jerut Leher Hingga Mati

August 3rd, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang lelaki berusia 41 tahun telah direman selepas disyaki menjerut leher isterinya menggunakan tudung sehingga meninggal dunia. Kejadian ngeri ini dipercayai berlaku 2 hari sebelum sambutan Aidiladha iaitu pada petang Rabu (29 Julai 2020).

Mangsa dijerut sampai mati

Menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, pembunuhan itu dipercayai berlaku disebabkan suspek terlalu berang dengan tindakan isterinya yang memfailkan penceraian. Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai telah menjerut leher isterinya menggunakan tudung yang dipakai mangsa kira-kira 10 minit sehingga mati.

Pembunuhan itu berlaku di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih yang dinaiki mereka. Lebih mengejutkan apabila selepas membunuh mangsa, suspek berpura-pura mencari isterinya yang juga seorang pensyarah di universiti awam.

Suspek kemudian membawa isterinya berusia 40 tahun itu dengan kenderaan tersebut menghala ke Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang.

Lelaki itu meletakkan mayat isterinya di tempat duduk pemandu dan mengambil dompet serta telefon mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin dihidupkan.

Suspek dan mangsa mempunyai masalah

Difahamkan, suspek bersama anak perempuannya kemudian telah keluar menaiki perkhidmatan e-hailing sebelum kembali semula ke lokasi kejadian untuk menghubungi pihak polis.

Suspek mengatakan dirinya bersama dengan bantuan pemandu e-hailing dari rumah yang terletak di Putra Perdana sehingga menjumpai kereta yang dinaiki mangsa di tepi tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya dan kemudiannya hubungi pihak polis apabila mendapati isterinya tidak bergerak.

Hasil daripada siasatan, pihak polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa dan telefon bimbit serta beg duit tiada bersamanya tetapi gelang emas masih berada di pergelangan tangan kiri mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat dan hasil bedah siasat yang dijalankan pada Khamis lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan jerutan di leher.

Siasatan yang dijalankan ke atas suami mangsa mendapati hubungan kedua-duanya mempunyai masalah kerana lelaki itu melafazkan cerai pada pada 24 Jun lalu.

Suspek mengaku membunuh isteri

Suspek kemudian telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan. Suspek mengaku membunuh isterinya kerana mangsa berkeras untuk bercerai selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Suspek telah menunjukkan tempat barang milik isterinya yang telah dibuang di hadapan Masjid Putra Perdana dan sehelai baju kemeja batik berwarna hitam. Suspek juga mengaku telah memecahkan telefon tersebut menggunakan seketul batu untuk merosakkan telefon itu sebelum membuangnya ke dalam tasik.

Suspek direman sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian, Kosmo, Harian Metro

SKIP THIS AD ×