Di Kota Marudu, Sabah, seorang wanita yang dikenali sebagai Habibah Abungon, 68 tahun, ditemui mati akibat kecederaan parah selepas diserang tunang anaknya.
Menerusi laporan Harian Metro, suspek menggunakan parang sebagai senjata untuk menetak bakal ibu mentuanya. Ini kerana, tunangnya meminta agar mereka memutuskan ikatan pertunangan.
Mahu putus tunang
Sekadar gambar hiasan
Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.15 malam di Kampung Kuyuh, Pitas, semalam. Selain ibu mangsa yang maut, mangsa, adik dan bapanya yang berada di rumah itu turut mengalami kecederaan selepas diserang suspek berusia 29 tahun itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampung di Paitan. Namun, wanita tersebut enggan menurut permintaan itu dan memaklumkan bahawa dia mahu memutuskan pertunangan. Ekoran daripada itu, suspek telah bertindak agresif dan mengamuk dengan menggunakan parang.
Mayat terlentang di dapur
Tambah Mohd Izaan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai. Ujarnya lagi, kesemua mangsa yang cedera pula sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut. Setakat ini, pihak polis sedang melakukan siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Harian Metro