Semalam, Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan telah memaklumkan semua premis makanan dan restoran yang beroperasi selama 24 jam bakal dihadkan tempoh operasi mereka dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam sahaja. Terbaru, menerusi laporan Berita Harian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah membatalkan arahan mereka semula.
Keperluan semasa warga kota
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pembatalan tersebut dilakukan sejurus pihaknya membuat pertimbangan semula berdasarkan keperluan semasa warga kota. Tambahnya, jika sebelum ini mengikut Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan dari 19 Mac sehingga 31 Mac, semua premis perniagaan (restoran) yang beroperasi 24 jam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dihadkan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
Selepas mempertimbangkan semula perkara ini berdasarkan keperluan warga kota, arahan mengehadkan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam dibatalkan.
Bagaimanapun, premis itu hanya boleh menjalankan perkhidmatan pesanan pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja.
Penutupan semua bentuk perniagaan yang tidak ‘essential’
Terdahulu, DBKL telah menguatkuasakan penutupan semua bentuk perniagaan yang tidak ‘essential’ juga di sekitar Kuala Lumpur. Kesemua peniaga diarah menutup perniagaan mereka serta merta dan notis turut dikenakan. Tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perniagaan yang gagal mematuhi arahan ditetapkan juga akan diambil selaras Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020. Ianya akan tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa.
Sumber: Berita Harian