Bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persektuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan pesanan buat pengarah, Syamsul Yusof dan keluarga menerusi satu surat terbuka.
Agama itu adalah nasihat
Berdasarkan surat terbuka tersebut, Dr Zul dilihat memberi nasihat dan pandangan bernas tentang konflik rumah tangga yang sedang berlaku di antara Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Semasa saya di dalam penerbangan menuju ke Jakarta, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial. Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam. Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini. Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat. Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada.
Menurut Dr Zul, tindakan Syamsul meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.
Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
Syabas kepada Datuk Yusof Haslam
Tambah Dr Zul, sikap yang ditunjukkan oleh Yusof Haslam jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.
Sifat kebapaan yang dizahirkan, mengingatkan saya kepada kisah Nabi Nuh AS yang tegas dengan prinsip dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Inilah yang sewajarnya kita insafi dan kita lakukan.
Beriman dengan qadha’ dan qadar antara pesanan yang diberikan oleh Dr Zul kepada keluarga semua pihak yang terlibat. Tegas Dr Zul, semua orang akan menuju untuk menemui Tuhan. Jadi, ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian.
Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan. Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan ialah keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin termasuk juga perasaan kasih sayang, Mu’asyarah (pergaulan) yang baik dan zahirkan rasa kasih sayang kepada kaum keluarga dan anak-anak.
Jadilah suami dan bapa yang terbaik
Di samping itu, Dr Zul turut berkata bahagia merupakan impian utama. Oleh itu, Dr Zul berharap Syamsul dapat memohon maaf kepada kedua ibu bapanya.
Ingatlah, dalam kehidupan, semua dalam kalangan kita inginkan bahagia dalam hidup. Tetapi tidak semua dapat mencapainya. Taat dan patuhlah kepadanya serta berbaktilah kepada keduanya. Sesungguhnya, inilah perintah Allah SWT kepada kita semua.
Buat netizen, Dr Zul memberi pesanan agar sentiasa mendoakan yang terbaik buat Syamsul dan keluarganya.
Bukan dengan tindakan seolah-olah ingin menjatuhkan dan menghancurkan rumah tangga yang telah dibina berdasarkan syarak. Antara doa yang terbaik adalah doa saudara kepada saudaranya tanpa diketahuinya seperti yang dinaskan di dalam hadith. Jangan marah kerana sifat marah boleh menghilangkan pertimbangan akal dan membawa kepada persengketaan. Tindakan pada ketika itu akan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan melepaskan amarah. Kita tidak mahu menjadi golongan yang tergelincir lidah, bahkan rugi kepada diri kita sendiri. Ingatlah, kita semua banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang sentiasa bertaubat.
Terakhir sekali, Dr Zul meminta Syamsul dan kedua-dua isterinya menjaga solat, terutamanya solat Tahajjud di waktu malam bagi meraih rahmat daripada Allah SWT.
Sumber: Dr Zul