berita

Berjaya Buka 20 Butik Dalam Masa 4 Tahun, Lelaki Ini Kongsi 10 Cabaran Dunia Fesyen

October 5th, 2016 | by Arini Saleh
Make-It-Senang

10-cabaran-dalam-industri-fesyen-2

Sudah menjadi lumrah dan sifat semulajadi seorang wanita untuk kelihatan cantik dan trendy sesuai dengan peredaran semasa. Korang boleh lihat sendiri jumlah pengunjung ke mana-mana festival fesyen yang dianjurkan. Sesak nafas dibuatnya.

Oleh itu, semakin ramai yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia fesyen. Sebagai sebuah jenama fesyen muslimah yang terkenal dan berjaya membuka sehingga 20 cawangan di Malaysia, lelaki ini berkongsi cabaran dan risiko perlu dihadapi jika ingin berkecimpung dalam dunia fesyen. Nampak macam senang, tapi…

Berkembang sehingga buka 20 butik seluruh Malaysia

5

CABARAN DALAM DUNIA PERNIAGAAN FESYEN MUSLIMAH.

Sebagai CEO kepada syarikat ZAWARA, yang berkecimpung dalam industri fesyen, ramai yang bertanya saya tentang industri fesyen terkini, cabaran yang dihadapi, terutama industri fesyen muslimah menjelang kemelesetan ekonomi.

Dalam coretan ringkas ini saya harap ia bermanfaat untuk pembaca, terutama anak muda yang cenderung kearah industri fesyen. Semua fakta ini hanyalah pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman sebagai pemerhati industri & trend fesyen antarabangsa ketika bertugas sebagai juruterbang mengelilingi dunia dan kemudian berniaga sepenuh masa, menceburi industri fesyen bersama-sama rakan kongsi dan juga adik saya Fadilla Karim. Pada tahun 2012, kami menubuhkan ZAWARA sebagai pusat fesyen atas talian dan berkembang membuka sehingga 20 butik seluruh Malaysia.

Pada tahun 2015, ZAWARA menjadi online shopping site yang ke-5 terbanyak di carian google Malaysia serta menjadi contoh success story oleh pihak Facebook HQ di California, Amerika.

Memulakan perniagaan fesyen, khususnya fesyen muslimah adalah sangat menarik dan mampu memberi pulangan lumayan tetapi ia datang dengan banyak cabaran & masalah. Dalam industri fashion, seperti industri lain, kejayaan tidak kekal. Bak kata Heidi Klum: “One Day You’re In & the Next Day You’re Out” Oleh itu untuk mengekalkan kejayaan, syarikat fashion perlu struggle untuk sentiasa memastikan kejayaan berterusan.

Modal yang besar dan peningkatan kos

1

Ini adalah 10 CABARAN DALAM INDUSTRI FESYEN:

1. MODAL:
Untuk memulakan sesuatu jenama sendiri, modal adalah agak besar. Kos melibatkan pembelian bahan, produksi, penjenamaan & pemasaran dan tentu sekali kos untuk mewujudkan pusat jualan seperti butik menelan belanja yang tinggi. Pihak bank atau institusi kewangan jarang memberi pembiayaan perniagaan fesyen terutama kepada perniagaan baru kerana kadar kegagalan yang sangat tinggi dalam industri ini secara global. Oleh itu, bermula kecil-kecilan secara online atau menjadi ejen kepada jenama sedia ada adalah satu langkah bijak kerana banyak yang akan anda pelajari. Ilmu pengalaman sendiri ini adalah amat berharga dan tidak boleh didapati di mana-mana institusi pengajian ataupun seminar.

2. PENINGKATAN KOS PRODUKSI:
Hampir semua bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu pakaian atau tudung itu diimport dari luar Negara. Dengan nilai ringgit yang amat lemah, ia menjadikan kos menghasilkan sesuatu pakaian itu semakin tinggi. Persaingan sengit membuatkan harga runcit tidak boleh menjadi terlalu tinggi, mengakibatkan kadar keuntungan yang sangat rendah jika gagal menjual pada harga premium. Kos-kos lain seperti pekerja, sewa serta kos operasi lain menjadi cabaran getir industri ini. Dalam kegawatan ekonomi serta inflasi, pelanggan akan memilih jenama lain yang lebih murah apabila produk anda menjadi terlalu mahal untuk mereka.

Pasaran yang terhad dan ‘marketing strategy’ yang sukar

3. PASARAN TERHAD:
Pasaran fesyen muslimah adalah terhad, tidak luas. Fesyen muslimah yang dihasilkan di Malaysia adalah mengikut trend permintaan pengguna Muslimah di Malaysia. Jika fesyen kita dibawa ke Indonesia, mereka rasa kebanyakan fesyen kita tidak menepati trend fesyen muslimah Indonesia. Ya betul! Walaupun mereka juga muslimah, tetapi cara fesyen di sana berbeza. Begitu juga ke Negara timur tengah atau untuk muslimah di Eropah. Gaya fesyen muslimah setiap negara berbeza. Bayangkan untuk Malaysia sahaja, anda terhad kepada segmen ini: WANITA > MUSLIMAH > BERHIJAB > YANG MEMINATI JENIS REKAAN ANDA. Citarasa berbeza-beza dan tidak mungkin anda dapat menghasilkan atau menjual pelbagai jenis produk untuk semua citarasa pengguna muslimah. Jika anda berkategori fesyen bukan muslimah pula, anda akan bersaing dengan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa yang mempunyai dana yang amat besar sehingga mampu menjual produk dibawah kos untuk tujuan promosi serta pengumpulan database untuk tujuan perniagaan kewangan yang lain seperti untuk mengapungkan syarikat ke bursa saham atau penjualan syarikat.

4. PEMASARAN:
Pemasaran dalam industri fesyen adalah antara strategi pemasaran industri yang paling sukar. Cara pemasaran sentiasa berubah pantas. Ia perlu menjadi menarik serta kos pemasaran makin menjadi tinggi. Dengan kadar keuntungan yang rendah, kesilapan dalam strategi pemasaran boleh melenyapkan perniagaan anda dengan pantas sekali. Kewujudan produk atau jenama anda di media cetak tidak lagi begitu berkesan seperti dulu, apatah lagi kalau ia merupakan iklan. Kos pemasaran di Facebook serta Google dan lain-lain menjadi semakin tinggi berbanding dulu. Pemasaran viral adalah antara yang paling murah dan efektif, tetapi untuk viralkan sesuatu perniagaan adalah sukar. Netizen tidak suka viralkan sesuatu yang positive atau berbau promosi produk. Kos pemasaran berterusan untuk fesyen adalah tinggi kerana produk berubah-ubah terlalu kerap, tidak seperti pemasaran produk makanan atau restoran yang jauh lebih mudah dan rendah.

Trend yang ‘expired’ dan rekaan fesyen yang diciplak

5. PENGURUSAN PERMINTAAN:
Tiada satu pun jenama fesyen di dunia kini boleh meramalkan permintaan dengan tepat, termasuklah jenama antarabangsa seperti ZARA, H&M serta UNIQLO. Apa yang kita sangka akan menjadi hit, kadangkala tidak laku, menyebabkan lambakan stok dan cairan tunai anda tersangkut. Sebaliknya apa yang kita ramal kurang mendapat tempat tiba-tiba menjadi sangat laku dan anda tidak cukup stok untuk menjual untuk meraih keuntungan maksimum. Masa produksi yang agak lama, membataskan produksi semula. Peredaran trend yang sangat pantas kini, membuatkan trend yang “panas” beberapa minggu lepas, menjadi suam hari ini.

6. TARIKH LUPUT FESYEN:
Ramai yang sering berkata bahawa dalam fesyen tidak seperti industi makanan takde tarikh luput. Sebenarnya ada! Walaupun kesannya tak seperti makanan, trend yang telah “expired” akan menyebabkan peniaga sukar mencairkan stok dalam inventori, lalu ia terpaksa dijual pada harga yang rendah. Peniaga yang mampu bertahan dari segi kewangan mungkin tidak begitu tertekan, tetapi jika anda memerlukan kecairan tunai untuk meneruskan operasi perniagaan, langkah ini tidak boleh dielakkan.

7. REKAAN FESYEN:
Untuk memastikan syarikat fesyen anda berterusan, anda terpaksa sentiasa mengeluarkan rekaan baru sentiasa. Untuk mendapatkan rekaan yang hebat adalah sukar. Dalam merekacipta serta menghasilkan pakaian, banyak risiko mungkin berlaku. Setiap koleksi adalah risiko yang tinggi. Kesilapan teknikal sering berlaku dan ini adalah biasa. Hanya 1 kesilapan kecil ini mungkin menyebabkan syarikat anda lingkup! Trend terkini adalah meniru sahaja jenama antarabangsa yang rekaan mereka memang menawan dan membuat manipulasi gambar menggunakan Adobe photoshop & illustrator. Senario ini membuatkan permintaan terhadap fesyen designer menjadi semakin kurang, terutama bagi syarikat yang ingin menjimat kos. Teknologi mudah ini juga menyebabkan produk anda yang laku dengan mudahnya diciplak oleh pesaing lain menggunakan teknik serupa di atas.

Penguasaan kewangan – faktor kejayaan utama syarikat fesyen antarabangsa

8. PERSAINGAN:
Ini adalah satu isu yang sangat kompleks. Dalam industri ini, persaingan amat diperlukan untuk memangkinkan permintaan serta industri. Begitu juga kerana fakta bahawa tidak ada syarikat yang boleh menyediakan semua yang dikehendaki oleh pelanggan. ZAWARA sebagai contoh sangat memerlukan persaingan, dimana sales akan jatuh jika pesaing berhampiran tutup kedai.Bukti yang jelas adalah tempat dimana terdapat banyak persaingan dalam pilihan jenama busana muslimah, di situ menjadi tumpuan kepada pelanggan. Akan tetapi jika produk anda tidak mampu bersaing, anda akan kehilangan pelanggan yang banyak mengakibatkan anda boleh gulung tikar.

9. CIPLAK & PENIRUAN:
Ciplak & peniruan adalah isu biasa di dalam industri fesyen & amat sukat dibendung. Ini disebabkan oleh undang-undang sedia ada yang menyukarkan proses saman dari sudut teknikal serta kos yang amat tinggi untuk menyaman. Tidak banyak boleh dilakukan untuk membendung isu ini kecuali pilihan pengguna itu sendiri.

10. PENGUASAAN KEWANGAN:
Dalam industri fesyen, penguasaan ilmu kewangan serta kemahiran pengurusan adalah jauh lebih penting dari sudut rekaan fesyen itu sendiri. Perlu diingat, faktor kejayaan utama syarikat fesyen antara bangsa seperti Top Shop, Louis Vuitton dan lain-lain adalah melalui proses pengambilalihan syarikat serta kepakaran kewangan. Walaupun ada, namun jarang sekali fesyen designer berjaya dalam industri fesyen kerana faktor ini. Pereka fesyen antarabangsa seperti Marc Jacobs, La Perla dan Alexander Mc Queen, mereka semua telah bankrap & nama mereka di beli oleh syarikat korporate yang besar sebagai jenama fesyen yang tidak dimilik oleh pereka-pereka fesyen tersebut.

Industri fesyen tidak akan mati tetapi…

RUMUSAN ANALISA INDUSTRI FESYEN

Dalam perniagaan fesyen, ketika ekonomi mantap, pengguna akan berlumba-lumba mendapatkan busana terkini setiap minggu bagi kelihatan updated. Malah ada juga yang membeli tetapi tak pakai pun. Fesyen menjadi kehendak bukan keperluan. Ini memangkin industi fesyen secara positif.

Ketika ekonomi meleset, selera pembeli akan berkurangan. Fesyen bertukar menjadi keperluan dan bukan lagi kehendak. Pembeli akan membeli hanya jika ia rasa perlu. Bila keadaan ini berlaku, strategi pengurusan perniagaan serta aliran tunai yang mantap adalah penting untuk terus berada di pentas industri fesyen.

Industri fesyen tidak akan mati, tetapi akan sentiasa berada seperti “roller coaster”.

Perubahan strategi perlu sentiasa dilakukan bagi sentiasa kekal releven.

Bagi yang berminat untuk menceburi dalam industri fesyen, wajib tahu cabaran ini agar bersedia menempuh industri yang amat menarik ini dengan lebih bersedia.

Captain Kamarul Karim
Founder Of ZAWARA & ZAWARA Coffee

sumber: Kamarul Karim

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×