Mega Star Arena,Kuala Lumpur digegarkan dengan konsert hebat yang luar biasa, malah telah mencipta satu sejarah! Buat julung kalinya lebih tiga ribu penonton, peminat genre rock tanah air disajikan dengan persembahan bertenaga daripada sembilan penyanyi rock legenda tanah air menerusi Konsert ‘Rock Legend Berzaman’ baru-baru ini.
30 buah lagu rock
Sungguh menghiburkan! Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut penonton sebaik sahaja menyaksikan sembilan penyanyi legenda rock berkongsi satu pentas yang sama. Menampilkan 30 buah lagu rock, rata-rata penonton kagum melihat persembahan Ameng Spring, Zamani Slam, Muss, Amir Ukays, Ezad Lazim, Shidi Data, Azan Scan, Poey Sting serta Hazama.
Konsert hebat yang berlangsung lebih tiga jam dan diacarakan oleh Aril Af bagaikan tidak terasa oleh penonton dengan lagu-lagu malar segar yang turut dinyanyikan bersama.
Azan dari kumpulan Scan membuka tirai konsert dengan lagu hit beliau Disana Mawar Di Sini Penawar, Yang Kalut Difikiran dan Kau Dipaksa Aku Terpaksa.
Seterusnya Poey dari Kumpulan Sting menyayikan lagu hit beliau, Adakah Kau Setia, Dalam Diam Aku Mencintaimu dan Kau Tetap Kuhajati.
Konsert diteruskan dengan persembahan Hazama dengan lagu Bukan Ku Tak Sudi, Aduhai Seribu Kali Sayang dan Relakan Jiwa.
Seterusnya persembahan Shidi dari kumpulan Data menghiburkan penonton dengan lagu hit beliau, Nyanyian Rindu Buat Kekasih, Mengulit Kenangan dan Permaisuri
Kemunculan Ameng dari kumpulan Spring ternyata membuat Mega Star bertambah gegar dengan lagu malar segar beliau, Cempaka Di Rembulan, Sejiwa, Butakah Cinta dan Romantis.
Persembahan mantap Amir dari Kumpulan Uks menyanyikan lagu Seksa, Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
Ezad Lazim menyampaikan lagu hit beliau, Seperti Dulu, Masih Teserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar
Kemunculan Zamani dari kumpulan Slam menjadikan konsert bertambah panas dengan lagu hit beliau, Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Gerimis Mengundang.
Muss bekas penyanyi Kumpulan May gegarkan konsert dengan lagu-lagu hit beliau Sinar, Cintamu Mekar Di Hati dan Sendiri.
Persembahan penutup semua artis yang terlibat menyanyikan lagu Srikandi Cintaku dengan penuh jiwa.
Menurut Ketua Pegawai Operasi RAR Sky Entertainment, Rose Azlin Rosli atau lebih mesra dengan panggilan Nona bersama suami, Iskandar Ali sebagai penganjur, pihak mereka begitu terharu akhirnya konsert ini berjaya dan telah mencatat sejarahnya tersendiri.
Saya amat gembira dengan kejayaan konsert malam ini dan ini merupakan permulaan saya mencuba dalam perniagaan baru. Kami cukup teruja malah diharapkan konsert ini mengubat kerinduan semua peminat muzik rock tanah air.
Walaupun agak sukar untuk menghimpan sembilan legenda rock terkenal tanah air di atas satu pentas, kami berjaya melakukan dengan cemerlang dan berharap agar konsert ini akan menjadi kenangan indah buat penonton.
Malah Pengurus RAR Sky Entertainment iaitu Muhammad Iskandar Ali memaklumkan bahawa kejayaan konsert pada malam tersebut adalah kerana pemilihan artis yang dipilih oleh penaja iaitu Kak KM.
Saya amat berpuas hati di awal pemilihan barisan artis oleh Kak KM dan terbukti penonton gembira dan menyanyi bersama pada malam ini,” kata Muhammad Iskandar Ali.
Menurut Kak KM pula, dia sememangnya peminat tegar bagi lagu-lagu bergenre rock jiwang dan ‘tangkap leleh’ malah sering mendengar lagu-lagu tersebut sewaktu memasak di dapur setiap pagi.
Saya selaku peminat tegar lagu-lagu jiwang dan leleh, serta membesar dengan rock kapak, memang sangat teruja dengan kejayaan konsert malam ini.
Pasti semua yang hadir pada malam ini terhibur dengan himpunan para selebriti yang membuat persembahan. Paling terharu penonton rata-rata ‘sing-along’ sama-sama.