berita

Berjayakah Empat Sekawan Ini Merebut Jawatan Tetap Di Agensi Pengiklanan? Jom Saksikan Drama Budak Intern Di TV9

September 23rd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

TV9 membawakan sebuah drama komedi tempatan terbaru bertajuk Budak Intern. Drama ini ditayangkan di saluran TV9 dan Viu Malaysia bermula semalam iaitu pada 22 September 2021, jam 9:30 malam.

Drama Budak Intern

Budak Intern merupakan drama bersiri tempatan yang membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Malek Mccrone, Intan Najuwa, Bella Dowanna, Syafi Tee, Acong Sweetchild dan ramai lagi. Drama 16 episod ini mengisahkan kehidupan ‘budak intern’ iaitu Izzy (Intan Najuwa), Bainun (Bella Dowanna), Ryan (Malek Mccrone) dan Karl (Syafi Tee) yang akan melaporkan diri di sebuah agensi pengiklanan tempatan.

Empat sekawan ini akan melalui proses pembelajaran dan suka duka sepanjang tempoh internship mereka. Tak dinafikan, drama ini pastinya sangat dekat dengan masyarakat selain menunjukkan kehidupan sebenar terutamanya buat para pelajar yang pernah menjalani latihan industri. Malah, sepanjang tempoh internship, Izzy, Bainun, Ryan dan Karl perlu berusaha dan menonjolkan diri mereka demi memperoleh penilaian yang baik dari penyelia masing-masing.

Tanpa mereka sedar sebenarnya latihan industri ini bukan sekadar penilaian lulus atau gagal semata-mata, tetapi persahabatan mereka turut diuji. Lebih ‘menghangatkan’ suasana apabila empat sekawan ini perlu bersaing bagi merebut satu jawatan tetap selepas selesai tempoh latihan industri tersebut. Adakah salah seorang daripada mereka akan berjaya? Sama-sama kita saksikan!

Drama Budak Intern bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9.30 malam di TV9. Bukan itu sahaja, turut disiarkan secara online di laman penstriman Viu Malaysia selepas habis tayangan di TV9.

Ditayangkan di TV9

SKIP THIS AD ×