Kadar gaji minimum di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran dinaikkan kepada RM1,200 sebulan. Sementara, gaji minimum selain daripada wilayah bandar utama dikekalkan pada kadar RM1,100 sebulan.
Menerusi laporan Bernama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan semalam berkata gaji baharu ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2020. Perintah kenaikan gaji akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Kurangkan beban kos sara hidup
(Sekadar gambar hiasan)
Keputusan ini dibuat kerajaan susulan pembentangan Bajet 2020 dan perbincangan Jemaah Menteri pada 6 Disember lepas. Katanya, keputusan menaikkan gaji bagi pekerja di wilayah bandar utama dapat meringankan beban dan membantu kos sara hidup yang tinggi.
Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama dan RM1,100 sebulan selain daripada wilayah bandar-bandar utama adalah berdasarkan tempat kerja yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) iaitu di mana-mana tempat kerja dijalankan untuk majikan oleh pekerja.
Selain itu, KSM turut menyatakan kadar gaji minimum mengikut jam dan hari bekerja, serta upah mengikut kerja, perjalanan, komisen, tan dan tugasan akan diperincikan dalam kadar gaji yang baharu.
Bandar yang terlibat
(Sekadar gambar hiasan)
Bandar utama yang terlibat dalam perintah kadar minimum baharu ini adalah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Bharu.
Selain itu, bandar lain yang turut terlibat adalah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.
Tambahnya lagi, gaji minimum ini tertakluk kepada semua pekerja sektor swasta kecuali sektor khidmat domestik seperti mana kadar gaji minimum 2018.
KSM dalam kenyataan itu berkata lagi, kadar minimum ini akan terus disemak sesuai dengan keperluan semasa dan selaras dengan hasrat mencapai kadar minimum RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan.
Sumber : Bernama