Bagi ibu-ibu yang merancang untuk hamil, mereka seharusnya memiliki pengetahuan asas mengenai proses kehamilan. Sebagai contoh, mereka harus sedar mengenai simptom-simptom mengandung dan mengambil suplemen asid folik sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.
Doktor Faruq Zulkafli menerusi laman Twitter berkongsi pengalaman pesakitnya keguguran kerana tidak menyedari diri hamil. Ini disebabkan haidnya yang tidak teratur dan mengabaikan kesihatan diri.
Berlaku pendarahan, ketulan darah pekat
Menurutnya, pesakit yang berumur 21 tahun dan sudah berkahwin ini datang ke hospital kerana berlaku pendarahan pada bahagian alat sulit sudah tiga hari. Pada awalnya, hanya pendarahan biasa namun semakin teruk apabila ada ketulan darah pekat.
Pesakit ini sudah berkahwin selama dua tahun dan tidak mengambil sebarang pil/kaedah perancang keluarga.
Katanya lagi, pesakit ini sangat berharap untuk mendapat zuriat memandangkan sudah 2 tahun berkahwin. Dua hari lepas, pesakit mengadu senggugut teruk dan kejang di bahagian perut. Menafikan ada terjatuh, pesakit hanya mengambil ubat-ubatan tradisional seperti jamu untuk kesihatan.
Sebelum ini, haid tidak teratur dan dia sendiri tidak menyedari sudah dua bulan tidak datang bulan. Pesakit juga mengaku ada muntah-muntah 3-4 kali sehari selama empat hari minggu lepas.
Tak dapatkan rawatan sehinggalah..
Walaubagaimanapun, dia tidak mendapatkan rawatan sehinggalah keadaan menjadi semakin teruk dan berlaku pendarahan di bahagian kemaluan. Setelah diperiksa, doktor mendapati Urine Pregnancy Test (UPT) positif dan berlaku pendarahan dari perspeculum. Difahamkan pesakit mengalami keguguran.
Ibu tidak sedar akan perubahan diri mengakibatkan janin di dalam kandungan tidak dapat diselamatkan. Sebagai seorang doktor, Faruq Zulkafli menasihatkan ibu-ibu supaya mempersiapkan diri dengan ilmu mengenai kehamilan.
Pertama, ibu-ibu hendaklah mengambil suplemen seperti asid folik sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum kehamilan. Kalau boleh, jadikannya sebagai amalan. Malah, gadis yang masih belum berkahwin juga boleh mengambil asid folik.
Selain itu, ibu hendaklah sedar akan risiko apabila mengambil sebarang ubat-ubatan tradisional.
Persiapkan diri dengan ilmu
Ibu-ibu juga harus faham, walaupun merancang keluarga, ibu masih boleh hamil disebabkan kaedah merancang yang gagal. Jika lambat datang period untuk tempoh masa seminggu atau lebih, silalah buat ujian kehamilan (UPT). Ibu juga harus sedar akan perubahan fizikal seperti kawasan areola (puting) yang semakin gelap, mood swing, alahan dan sebagainya.
Untuk kes ini, ibu ini berkemungkinan dapat menyelamatkan bayinya jika hadir ke hospital pada hari pertama berlaku pendarahan. Kurangnya pengetahuan menyebabkan janin yang dikandung gugur.
Sumber : Faruq Zulkafli