Diuji dengan kehilangan anak tersayang merupakan satu ujian yang sangat memeritkan. Hati ibu mana yang tidak sedih tatkala melihat anak yang dikandung selama 9 bulan pergi dahulu sebelum sempat membesar.
Itu lah perasaan yang dialami oleh seorang ibu, Shiema Yusoff apabila puteri kesayangannya disahkan meninggal dunia kerana menghidapi kanser darah.
Diagnosis leukemia (kanser darah)
Masih ingat lagi sewaktu mengandung dan melahirkan puteri ibu, Nur Yusra Ainul Mardhiah pada 11 Jun 2015. Nama manja adik Yaya atau baby Omeyy. Alhamdulillah lahir tanpa cacat cela. Ditatang bagai minyak yang penuh. Anak ke-4 dari 4 orang adik beradik masa tu.
Adik Yaya breastfeed sepenuhnya sampai berumur 2 tahun. Lepas dari menyusu dada, saya memberi susu formula. Masa berumur 2 tahun setengah adik Yaya demam dan tidak ada selera makan. Dirinya nampak pucat dan letih tidak bermaya. Tidak bermain walaupun saya membelikan mainan baru untuknya. Saya telah membawanya ke klinik kesihatan dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Pada 2 Disember 2017, tarikh keramat pada kami apabila adik Yaya telah diagnosis leukemia (kanser darah). Perkataan kanser itu sendiri sudah membuat kami takut dan risau. Takut kami akan kehilangan puteri kesayangan kami.
Adik menjalani kimoterapi
Bermulalah rentetan menjalani kimoterapi. Adik Yaya telah menjalani 6 kitaran kimoterapi. Berjuang habis-habisan melawan kimoterapi dan kanser. Alhamdulillah, semua berjaya. Pada awal April 2019, doktor menelefon dan memberi tahu blast sel adik masih berbaki sikit lagi tidak sampai 5% (dapat diketahui melalui ujian mengambil air tulang belakang kali ke 9). Kemudian prof menyarankan agar kami menyambung kimoterapi setengah cycle lagi bagi memastikan agar blast kanser betul betul tiada.
Saya sebagai ibu dan bapa mestilah ingin membuat yang terbaik untuk anak kami. Biarlah dia sihat seperti kanak kanak lain. Sayang kami pada adik Yaya hanya Allah je yang tahu. Kami menerima cadangan prof untuk sambung kimoterapi adik Yaya.
Bermulalah pula perjalanan adik dan adik telah berjaya habiskan setengah kimoterapi nya itu. Ibu dan ayah ingat matahari akan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Allahuakbar, semua adalah ketetapan Allah SWT.
Allah telah menjemput adik
Pada 29 April 2019, Allah telah menjemput adik pergi untuk selama lamanya. Tiada lagi kimo untuk adik, tiada lagi kesakitan untuk adik. Bermainlah adik di alam yang kekal abadi. Bahagia untuk selama lamanya, anak syurga. Masa itu ibu mengandung 7 bulan. Tidak dapat adik Yaya bermain dengan baby dalam perut ibu. Sedangkan baby itu lah yang selalu dicium dan dipeluk sewaktu dalam perut.
Kalau adik masih ada mesti ibu paling seronok pilih pakaian sekolah untuk adik. Tahun depan adik dah 5 tahun dah boleh sekolah. Adik Yaya pun sekarang dah ada adik berumur 6 bulan.
Sumber: Shiema Yusoff