Pelakon dan penyanyi terkenal, Lee Seung-gi telah bertemu peminat di Malaysia menerusi ONEderful day with Lee Seung-gi (fan meet) yang berlangsung di pusat membeli-belah di MyTown pada Sabtu.
Filem terbaharu ditayang tahun hadapan
Ketika ditemui OhBulan!, Lee Seung-gi akui dia sangat berbesar hati dan gembira dapat kembali semula ke Malaysia untuk bertemu dengan para peminat di sini.
Apabila ditanya mengenai perkembangan terbaharunya selepas memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Korea PD Awards, pelakon dan penyanyi kelahiran Korea Selatan ini berkata, dia akan membintangi satu filem yang akan ditayangkan pada tahun hadapan.
Saya akan berlakon dalam satu filem bertemakan keluarga yang akan ditayangkan pada tahun hadapan. Saya juga masih meneliti beberapa skrip yang diterima untuk pemilihan drama. Saya harap akan dapat bertemu dengan anda semua sementara menunggu drama terbaharu pada tahun hadapan.
Menerusi temu bual eksklusif tersebut, Lee Seung-gi berkata, selain aktif dalam dunia hiburan, dia juga kini sudah menubuhkan syarikatnya sendiri.
Ketika disoal apakah pilihan Lee Seung-gi sekiranya terpaksa memilih antara lakonan dan nyanyian, dia akui meminati kedua-dua bidang tersebut.
Saya minat dan akan pilih dua-dua sebab saya akan dapat pendapatan yang lebih. Tapi jika perlu memilih, saya akan memilih menjadi seorang penyanyi kerana ianya memberi saya fantasi.
Sekadar info, sesi bertemu peminat ONEderful day with Lee Seung-gi telah dianjurkan oleh ONE TV Asia iaitu syarikat milik KC Global Media yang menyajikan hiburan Korea yang disiarkan oleh sebuah syarikat televisyen bersatelit dan radio berbayar di Malaysia.