Pelakon Beto Kusyairy meluahkan rasa teruja apabila dapat membawakan watak hero bernama Tarma Roving dalam sebuah siri permainan arked popular era 90-an iaitu Metal Slug.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Tak Sangka Beto Kusyairy Pandai Menyanyi – ‘Ini Beto Simorangkir’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Tak Sangka Beto Kusyairy Pandai Menyanyi – ‘Ini Beto Simorangkir’
Beto dalam Metal Slug
Menurut Beto, dia juga gembira dapat bekerjasama dengan pereka kandungan digital berbakat besar, Sofyank dalam sebuah video bagi mempromosikan versi baharu permainan tersebut iaitu Metal Slug: Awakening.
Saya cukup teruja untuk bekerja dengan Sofyank kerana pada saya dia adalah permata berharga negara.
Saya memang menanti-nantikan untuk berseronok di set penggambaran kerana watak ini adalah berdasarkan permainan video yang melibatkan adegan aksi dan tembak-menembak.
Menceritakan pengalaman sewaktu di set penggambaran, pemenang Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 itu berkata, dia perlu mempunyai imaginasi yang tinggi sewaktu menjayakan watak tersebut.
Kita semua tahu Sofyank adalah pakar kesan visual CGI, jadi sedari awal lagi kami sudah berbincang tentang jalan cerita, latar belakang dan pergerakan agar semuanya menjadi selari dengan apa yang dia mahu lakukan.
Sofyank jadi pengarah
Sementara itu, Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah selaku pengarah video tersebut turut sama melakonkan satu lagi watak utama iaitu Marco Rossi.
Memilih lokasi penggambaran di Stadium Shah Alam, Sofyank berpendapat bahawa status ikonik stadium tersebut bertepatan dengan permainan Metal Slug yang dianggap sebagai legenda terutamanya bagi mereka yang lahir pada era 80-an dan 90-an.
Kemunculan semula Metal Slug sememangnya mengembalikan nostalgia. Sebab itulah Stadium Shah Alam dijadikan lokasi kerana ianya bakal dirobohkan dan sudah pasti akan menggamit kenangan rakyat Malaysia.
Sofyank yang sebelum ini memenangi pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic of the Month anjuran Zach King itu turut mengulas mengenai kolaborasinya bersama Beto.
Saya sendiri yang memilih Beto kerana dia merupakan aktor hebat generasi kini, dan ramai orang sering menyuarakan hasrat untuk melihat kami bekerjasama dan akhirnya ia menjadi kenyataan.
Buat peminat teruja
Selain daripada Beto dan Sofyank, video tersebut turut menampilkan atlet e-sukan terkemuka, Soloz.
Soloz yang memegang watak sebagai pemain permainan sama seperti kehidupan sebenarnya turut mengatakan bahawa Metal Slug: Awakening merupakan antara permainan terbaik yang pernah dimainkan olehnya.
Bukan itu sahaja, kolaborasi tersebut turut melibatkan selebriti tempatan lain seperti Jinnyboy dan pempengaruh popular Cathryn Li yang juga merupakan salah seorang pemain piano tercantik di Asia.
Ternyata gabungan nama-nama ini menjadikan video tersebut sebagai kolaborasi paling gempak untuk tahun 2023.
Dilesenkan oleh SNK, Metal Slug: Awakening yang berasal dari Jepun ini merupakan salah satu harta intelek permainan yang paling dinanti-nantikan semula kemunculannya pada tahun ini dan bakal dilancarkan pada 21 Ogos ini.
Bagi menghangatkan lagi pelancaran video rasmi tersebut, sebuah video di sebalik tabir telah dimuat naik Sofyank dan berjaya meraih 100 ribu tontonan dalam masa sehari, lantas meningkatkan lagi antisipasi terhadap produksi tersebut.
Sementara itu, para peminat yang menantikan pelancaran video rasmi tersebut boleh mula dimuat turun dari App Store atau Google Play Store mulai sekarang.
Untuk maklumat lanjut, nantikan informasi terbaharu di halaman rasmi dan Facebook.