Di Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni Chee Hoi Lan setelah selesai majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Jaga Rohana sejak usia dua bulan
Foto baginda berdua menyantuni warga emas berbangsa Cina itu telah dimuat naik beserta beberapa keterangan mengenai warga emas tersebut. Chee Hoi Lan yang berusia 83 tahun itu merupakan pesara guru tadika. Selesa disapa sebagai ‘Laoshi’, Chee Hoi Lan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Sejati-Keluarga Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.
Penganugerahan tersebut berikutan kecekalannya menjaga Rohana Abdullah sejak berusia dua bulan selain memastikan anak angkatnya itu membesar sebagai wanita Islam. Laoshi tidak pernah menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk dia menumpahkan kasih sayang kepada Rohana seperti anak sendiri malah memastikan anak angkatnya mengikuti Kelas Asas Fardu Ain untuk mempelajari ajaran Islam.
Kini, anak angkatnya itu sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam jurusan Diploma Sains Komputer. Selain Chee Hoi Lan, selebriti, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.
Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.
Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).
Sumber: Istana Negara