Demi mendapatkan ‘mood’ watak sebagai pasangan kekasih, pelakon Amy Nur Tinie, 27, akui dia telah menganggap aktor Hariz Hamdan sebagai kekasih sebenar sepanjang menjalani penggambaran filem Jemputan Ke Neraka.
Artikel Berkaitan: Sharifah Sakinah Pasang Alunan Al-Quran Di Set Penggambaran Jemputan Ke Neraka – ‘Banyak Cerita Seram Dekat…’
Artikel Berkaitan: Anne Ngasri Minta Tunjuk Ajar Darling Ngasri Terbit Filem Pertama -‘Dia Mentor Saya’
Bercinta?
Bagaimanapun, menurut Tinie, disebabkan sikap Hariz, 21, yang lebih matang daripada usia sebenar serta memiliki sifat yang ‘caring’, adakalanya niat baik itu disalah erti sebagai cinta mahupun suka.
Hariz walaupun muda perangai dia sangat matang dan mengambil berat. Jika orang yang tidak biasa dengannya pasti akan tersalah anggap dan menyangka dia ada hati dengan wanita itu.
Mengenali Hariz, dia akan melayan baik semua wanita tidak kiralah saya mahupun orang lain. Jangan mudah cair atau terjatuh cinta dengan dia sudahlah.
Secara peribadi saya tidak kisah kalau kekasih lebih muda asalkan bersikap matang. Umur sekadar angka yang paling penting hati dan kematangan seseorang.
Pun begitu, secara hakikatnya Hariz dan Tinie sememangnya bersahabat baik, malah mereka telah saling mengenali sebelum penggambaran filem arahan Amor Rizan itu lagi apabila sama-sama terlibat dalam drama Alamak Lagi Lagi Dia, selain kerap melakukan ‘live’ bersama di Instagram serta TikTok.
Hormat wanita
Sementara itu, Hariz mendedahkan, semenjak kecil dia telah dididik untuk menghormati orang sekeliling termasuk wanita tidak kira di mana sahaja dia berada.
Justeru, jika ada wanita atau pelakon gandingannya yang tersalah sangka akan layanan baiknya itu sebagai menyukai atau jatuh cinta, kata Hariz itu bukan masalahnya kerana dia tidak mampu mengawal perasaan orang lain terhadapnya.
Jika ada mana-mana wanita tersalah erti dengan layanan baik saya dan menyangka saya menyukai mereka terpulanglah.
Kalau wanita sukakan lelaki yang ‘caring’ mereka pasti akan tertarik dan jika ada pelakon gandingan yang tersuka pada saya, pandai-pandailah kawal perasaan sendiri. Itu bukan masalah saya kerana di set penggambaran saya hanya komited untuk bekerja.
Berkongsi lanjut tentang bergandingan dengan Tinie, Hariz mengakui dia cukup senang dan menyukai wanita asal Ipoh, Perak itu kerana kematangannya.
Saya suka bekerja dan berkawan dengan Tinie selain matang, dia berfikiran terbuka dan amat menghormati orang sekelilingnya.
Jadi, apabila saya mendapat tahu akan bergandingan sebagai kekasihnya dalam filem ini saya berasa lega. Keserasian kami memang tidak dibuat-buat sebab kami berdua memang berkawan baik.
Dalam filem Jemputan Ke Neraka, Hariz memegang watak Fiq yang merupakan kekasih kepada Sofea lakonan Tinie.
Filem Jemputan Ke Neraka yang akan menemui penonton di pawagam pada 22 Jun ini turut dibintangi oleh Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan dan Alif Hadi.