berita

‘Biar Saya Susah Tapi Jangan Anak Tak Sekolah’ – Kisah Pemandu Grab Kurang Upaya Jadi Inspirasi

April 16th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Ramai beranggapan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan dan hanya mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak. Kisah yang dikongsi Hafizul Hakim ini mungkin akan memperbetulkan anggapan serong anda itu terhadap golongan OKU.

Seorang pemandu Grab OKU ini membuktikan kekurangan yang dimilikinya tidak menjadi penghalang untuk dirinya terus berusaha mencari sesuap nasi buat keluarga. Kisah ini memang layak dijadikan inspirasi buat semua.

Dia guna tangan kanan

Malam tadi tiba lewat di Lapangan Terbang Kuching. Dah lebih pukul 10. Saya ambik Grab. Tak nak susahkan isteri, lagipun esok kena bangun awal hantar anak-anak ke sekolah. Kurang dari 5 minit, kenderaan ditempah tiba. Kereta AXIA putih, pemandu ini bernama Galang anak Jabai. Tambang cuma RM14, murah berbanding teksi.

Dalam perjalanan, keadaan seperti biasa hinggalah pemandu nak tekan ‘wiper kereta’ di traffic light. Dia guna tangan kanan, walhal lebih senang guna tangan kiri. Kemudian masa tukar gear dia masih guna tangan kanan. Eh ini dah lain. Saya curi-curi pandang dan rupanya pemandu saya Orang Kurang Upaya (OKU) kudung tangan sebelah kiri.

Tangan terputus ‘on the spot’

Gambar hiasan

“Boleh saya tahu kenapa dengan tangan awak. Memang sejak lahir kudung?” tanyaku untuk kepastian.

“Eh bukan, bang. 16 tahun lepas, saya kerja sebagai kelindan lori. Insiden berlaku di Bintulu, lori treler kami berlanggar dengan sebuah lagi treler yang sedang membelok. Pemandu sempat tekan brek tapi putus. Terus rempuh belakang treler, tangan terputus ‘on the spot’.

Ingatkan dah mati waktu tu. Darah banyak mencurah-curah keluar.” Jawabnya sambil tersenyum.

“Perghh. Awak pengsan ke masa eksiden tu?” seram sejuk dah aku dengar story dia. Baru nak menguap, terus tak jadi.

“Tak pengsan bang. Masa tu kepala lori dah terbalik, tangan saya tersepit pada pintu lori. Darah memang banyak. Bukan ajal saya lagi.” Fuhh, aku boleh bayangkan betapa dasyatnya saat tu jadi. Hilang terus rasa mengantuk dengar cerita dia. Aku alih topik.

Biar saya kudung, tapi…

Gambar hiasan

“Awak buat GRAB sepenuh masa ke? Orang lain sempurna sifat pun masih lagi malas-malas. Tak ada inisiatif nak cari duit.” kataku.

“Aah saya buat full time. Senang sikit atur jadual sebab pagi perlu hantar anak ke Tadika. Sekarang ni tak dapat nak harap bantuan orang lain, sendiri kena usaha. Biar saya kudung, tapi itu bukan alasan saya pengemis. Saya sekolah tak tinggi, tapi tak mahu anak ketinggalan pelajaran. Mana tahu anak saya nanti jadi orang berjaya.” Jawabnya bersungguh.

“Biar saya susah tapi jangan anak tak sekolah. Memang sudah jadi tanggungjawab sebagai seorang bapa. Bukan cari kemewahan, tapi memang lumrah keperluan hidup.” Ujarnya lagi.

Tangannya putus sejak usia 17 tahun. Hampir 16 tahun selepas insiden, masih gagah pertahankan maruah sebagai seorang lelaki. Sampai di depan rumah saya hulurkan duit nota merah dua keping.

“Simpan baki, buat hadiah anak.” Kami bersalaman. Tanda respek kepada beliau. Kalau berada di tempatnya, entah apa jadi pada saya. Harap jadi setabahnya.

Ada hikmah kami berdua ditemukan

Gambar hiasan

Kawan-kawan, ada hikmah kami berdua ditemukan. Terkadang kita rasa, kitalah yang paling bersusah payah sebagai ketua keluarga. Tapi rupanya ada lagi yang lebih sukar keadaannya. Andai kita seorang yang jenis tak henti-henti komplen, lihat semula keadaan diri bandingkan dengan keadaan Encik Galang. Ia adalah bukti bahawa jadi cacat bukan alasan untuk meraih simpati.

Sepatutnya kita lebih kuat, bertenaga dan buat kerja lebih mudah. Ia berbalik kepada sikap. Malas atau rajin. Nak atau taknak je lagi. Kerajinan akan datang jika kita ada rasa tanggungjawab dan punya kasih sayang tulus dari hati.

Agi idup, agi ngelaban


Ramai orang dapat manfaat dari GRAB. Banyak yang saya jumpa orang lepas pencen dan ini kali pertama jumpa pemandu OKU. Teknologi terkini mudahkan ramai orang ada pilihan sebagai penumpang atau mereka yang nak cari pendapatan sampingan.

Benda paling aku bersyukur, lahir dalam keluarga biasa, di ajar untuk hidup susah dan berusaha sendiri tanpa perlu mengeluh. Terima kasih Galang, saya terinspirasi dengan cabaran hidup awak lalui. Saya doakan rezeki anda sentiasa ada. Moga jadi pengajaran buat kita semua. Agi idup, agi ngelaban.

“We delight in the beauty of the butterfly, but rarely admit the changes it has gone through to achieve that beauty.”

Sumber: Hafizul Hakim

The following two tabs change content below.