Dengan semangat untuk memeriahkan bandar Kuala Lumpur dan mendidik masyarakat Malaysia khasnya mengenai spesis fauna tempatan, paparan warna-warni menerusi media Big Tree, pakar media pengiklanan luaran (OOH) terkemuka di Malaysia telah menghasilkan kempen bernama ‘Ilustrasi Haiwan Malaysia’.
Antara haiwan yang dipamerkan dalam kempen ini selain harimau malaya ialah gajah borneo, tenuk Malaysia, kancil, penyu belimbing, orang utan, burung enggang, badak, tenggiling, monyet belanda, kubung, burung merak pongsu, dan seladang. Kesemua siri gambar haiwan yang unik ini akan dipaparkan di sekitar mercu tanda paling ikonik negara iaitu Menara Berkembar Petronas. Terbaik!
Keunikan spesis fauna di Malaysia
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Shukor Ariffin, idea di sebalik ‘Ilustrasi Haiwan Malaysia’ adalah untuk menyedarkan dan mendidik masyarakat mengenai keunikan spesis fauna di Malaysia dengan cara yang kreatif dan menarik, sambil mempamerkan cara penggunaan media OOH dengan optimal melalui visual yang mencuri perhatian dan berwarna-warni.
Berdasarkan keadaan semasa, kami berharap inisiatif ini dapat menggembirakan hari seseorang semasa mereka memandu atau berjalan melepasi media kami.
Ruang pengiklanan ini juga mampu mendorong masyarakat untuk mengimbas kod QR bagi mengetahui lebih lanjut mengenai haiwan-haiwan yang dipamerkan di media ini. Di samping itu, penyertaan kod QR individu pada setiap visual haiwan ini memberi peluang kepada Big Tree untuk memberi kesedaran di kalangan awam mengenai populasi, status pemuliharaan, habitat serta penerangan lain mengenai haiwan ini. Akhir sekali, inisiatif ini datang dengan harapan agar rakyat Malaysia berbangga dengan haiwan yang berasal dari Malaysia di samping, mencetuskan minat mereka untuk membantu pemeliharaan haiwan dan habitat tersebut.