Penyanyi Imran Ajmain memberitahu penamatan perkhidmatannya sebagai Pengarah Kreatif di Suka Sucre milik Datuk Fazley Yaakob pada Ogos tahun lalu, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dalam dunia korporat.
Artikel Berkaitan: ‘Mereka Seperti Keluarga Sendiri’ – Imran Ajmain Nafi Dah Tak Rapat Dengan Fazley Yaakob
Artikel Berkaitan: Fazley Yaakob Nafi Bergaduh Dengan Imran Ajmain – ‘Saya Jarang Ada Masalah Dengan Orang’
Rezeki datang
Menerusi temu bual bersama OhBulan! penyanyi berusia 42 tahun ini berkata, dia terpaksa mengorak langkah yang baharu demi mengejar impiannya untuk mengembangkan karier seni semula.
Tempoh setahun terakhir itu adalah tempoh yang sukar kerana selama 15 tahun, boleh dikatakan saya membesar bersama syarikat itu. Saya bekerja dengan dia dan isterinya.Kami dah macam ahli keluarga yang akrab. Jadi, saya minta izin selama sepanjang setahun dan berakhir pada Ogos tahun lalu.
Berbicara lebih lanjut, penyanyi asal Singapura ini tidak menafikan bahawa perkembangan kerjaya seninya agak sedikit tersekat ketika bekerja pada waktu itu.
Sepanjang 15 tahun itu, secara keseluruhan, saya dah buat yang terbaik. Banyak produk yang keluar dan berjaya hasil titik peluh saya. Bila ada rezeki yang datang khusus untuk saya seorang, kalau saya tak terima, saya akan menyesal. Tambahan pula, usia saya sekarang pun dah menginjak ke 42 tahun.
Fazley cakap, dia berikan masa setahun untuk melihat sama ada, saya boleh dapat pendapatan seperti mana sebelum ini. Kalau boleh, teruskan. Saya sekarang memegang jawatan sebagai pengarah di Persatuan Komposer dan Penulis Singapura (Compass).
Pada masa yang sama, kerja baru ini memudahkan saya untuk lebih kerap ke Singapura untuk melawat ibu. Dulu saya sangat sibuk. Sampai saya minta tolong rakan-rakan bawa ibu dari Singapura ke sini (Malaysia).
Imran ditemui pada sidang media pelancaran lagu Padam dan Pergi serta Konsert Malam Seribu Tahun, semalam, di Volvo Cars Ingress Swede Automobile Mutiara Damansara.
Terdahulu, Imran menyangkal dakwaan mengenai desas-desus yang mengatakan hubungan persahabatan antara dia dan Fazley Yaakob, tidak lagi erat.
Jelas Imran, hubungan mereka masih lagi baik meskipun dia sudah berhenti memegang jawatan di syarikat milik penyanyi lagu ‘Bila April’ itu.