
Lagenda rock tanah air, Datuk Amy Search, mengakui pernah berdepan gangguan mistik yang menggugat keyakinannya untuk membuat persembahan di pentas, meskipun sebelum itu dia tidak pernah mempercayai perkara sedemikian sepanjang bergelar penyanyi.
Artikel Berkaitan: Amy Search Ikhlas Berkarya, Tak Pernah Terfikir Jadi ‘Raja Rock’
Artikel Berkaitan: Awie Akui Amy Search Lebih Layak Pegang Gelaran ‘Raja Rock Negara’ – ‘Dia Yang Patut Diangkat Sebagai Godfather’
Rasa ketakutan
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 68, memaklumkan insiden tersebut berlaku sekitar penghujung tahun 2000-an.
Dulu saya tak pernah percaya bab macam ini, sebab dah lama saya menyanyi, berpuluh tahun tak pernah terjadi.
Tapi dalam tahun 2010 macam itu, baru saya alami sendiri.
Dah berpuluh tahun tak pernah saya percaya, sekali dah kena baru macam, ‘Oh, sebenarnya ada’.
Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh di GSC Cinema, Mid Valley.
Bercerita lanjut, pelantun lagu ‘Tiada Lagi’ itu mengakui dia berasa seolah-olah tidak bermaya dan diselubungi rasa ketakutan yang melampau sehingga sukar untuk menjadi dirinya sendiri ketika berada di atas pentas.
Waktu berdepan kejadian itu, saya rasa macam flat sahaja di atas lantai.
Rasa ketakutan pun ada juga.
Bila naik pentas rasa takut, nak menyanyi tapi tak tahu nak menyanyi macam mana.
Rasa berdebar-debar, boleh dikatakan saya tak jadi diri sendiri.
Dalam pada itu, Amy turut mendapatkan rawatan daripada seorang ustaz dan mengakui proses pemulihannya mengambil masa yang agak lama sebelum kembali pulih seperti sediakala.
Saya ada pergi berubat, berjumpa dengan ustaz.
Memang lama prosesnya untuk sembuh.
Jadi untuk elakkan perkara ini, kita semua memang kena amalkan membaca Ayat Kursi dan berserah kepada Allah.