Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil memberi amaran kepada pengikutnya agar tidak terpedaya dengan penipuan pihak tertentu yang menggunakan gambar serta namanya bagi menjual produk perniagaan.
‘Saya dah banyak kali hadap’
Foto: Instagram Siti Nurhaliza
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Siti berkongsikan tangkap layar satu akaun Facebook yang memanipulasi gambar dan namanya bagi tujuan berkenaan.
Dalam kapsyen hantaran tersebut, Siti berkata, ini bukan kali pertama perkara sebegini berlaku, namun dia tidak lagi mahu berdiam diri, kerana perkara tersebut kini semakin menjadi-jadi.
Bila saya diam, makin rancak menyebarkan perniagaan yang tak melibatkan saya atau suami. Gambar saya dan suami dipaparkan dalam iklan perniagaan serta testimoni juga.
Saya dah banyak kali hadapi perkara ini.
Pelantun lagu Jerat Percintaan itu juga sempat menitip pesan agar pemilik akaun itu insaf dan tidak lagi menggunakan gambar dirinya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Pesan saya, berniagalah cara yang betul. Jangan mengambil kesempatan ke atas orang lain.
Kepada anda yang ada membaca, membeli atau terlihat iklan-iklan sebegini, saya ingin menjelaskan bahawa saya dan suami tidak ada kena mengena dengan produk mereka.
Berniagalah untuk mencari keberkatan dan bukan untuk melariskan produk dengan memggunakan iklan palsu.
Menerusi tangkap layar yang dimuat naik Siti, difahamkan pemilik akaun tidak bertanggungjawab itu telah menggunakan wajah penyanyi berkenaan dan suami bagi mempromosi produk rambut.
Sumber: Instagram Siti Nurhaliza