Siapa sentap dengan siapa? Itulah persoalan yang bermain dalam minda kami apabila penyanyi terkemuka, Shila Amzah memuat naik sekeping foto panas di Instagramnya.
Mana taknya, foto tersebut dilihat seakan-akan merendahkan martabat warga media Melayu yang selama ini merupakan tulang belakang dalam kariernya daripada zaman dia bergelar Shila Tekno lagi.
Mungkin kami ni baru setahun jagung, namun ternyata banyak media lain yang ‘dewasa’ bersama Shila terkesan dengan kenyataan yang diberikannya itu.
Malah, Shila seolah-olah menjolok sarang tebuan apabila membanding-bandingkan media Melayu dan Chinese Media. Katanya, media Melayu lebih gemar gosip berbanding dengan cerita berkenaan kariernya.
Namun, menerusi apa yang kami teliti selama ni ,media Melayu banyak juga update mengenai perkembangannya sewaktu pertandingan I Am A Singer dahulu.
Nah, buktinya kami portal yang sering dinobatkan sebagai portal gosip semata-mata ini juga telah menulis beberapa artikel mengenai Shila Amzah di pertandingan realiti televisyen itu.
Ini baru sahaja daripada portal kami, belum ditambah dengan artikel daripada rakan-rakan media yang lain. Malah, jika kami dijemput hadir sama ke konsert itu, masakan kami akan menolak bukan?
Cuma apa yang lebih mengecewakan, setelah kami bertanyakan kepada wartawan yang lebih senior (terdiri daripada tonggak utama mainstream media), sebenarnya mereka pun tidak mendapat jemputan ke konsert tersebut. Pelik tetapi itulah realitinya. Kami ingat kami sahaja yang tak dapat jemputan daripada Shila!
Bagaimanapun, mungkin ada di kalangan peminat yang mempersoalkan ‘kenapa perlu jemputan’ sedangkan kalau nak bergosip tak perlu tunggu dijemput?
Sesi perdebatan yang berlangung di laman Instagram Shila Amzah
Jawapannya mudah, kerana ini adalah merupakan sebuah konsert ya! Bukannya sidang media yang kami boleh pecah masuk sesuka hati.
Malah, seperti apa yang diceritakan oleh beberapa orang sahabat media, mereka pun tidak mendapat layanan sama adil semasa sidang media yang diadakan sebelum ini.
Antara respon Shila kepada peminatnya
Tidak berniat mahu menghentam sesuka hati, namun kami pun merasai apa yang warga media Melayu lain rasakan ketika ini. Tidak banyak, sudah tentu sedikit tetap akan terkesan di hati kan?
Namun, mungkin dapat menghidu bahawa status tersebut bagaikan menjerat dirinya, Shila telah memadamkan foto tersebut dan menggantikan dengan foto ber’caption’ : Thanks MEDIA.
Bak kata pepatah, nasi sudah pun menjadi bubur. Mungkin lepas ni rasanya Shila boleh menjadi lebih matang dalam setiap tutur katanya.
Kredit foto: Instagram Shila Amzah