Anak Allahyarham P Ramlee, Sazali, menyuarakan kebimbangan apabila kontrak royalti lagu karya bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) bakal tamat tahun depan.
Tak cukup menampung perbelanjaan kesihatan
Menurut Sazali, dia hanya menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 setakat ini. Tambah Sazali, jumlah tersebut tidak cukup buat dirinya untuk menampung perbelanjaan kesihatan.
Kalau duit royalti sudah tiada, kehidupan saya dan isteri akan susah. Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, jumlah royalti yang saya terima makin berkurang. Jujurnya saya masih berharap kontrak royalti MACP akan bersambung kerana saya bergantung dengan perolehan berkenaan yang diterima sekali dalam setahun.
Bercerita lebih lanjut, Sazali pernah bertanya kepada MACP tentang perkara tersebut tetapi dimaklumkan bahawa berdasarkan perjanjian, royalti hanya boleh diperolehi selama tempoh 50 tahun selepas pemergian P Ramlee.
Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temu janji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri. Saya nak minta tolong dengan siapa sebab sekarang ini semua pun susah. Saya tak boleh buat apa-apa kalau tahun depan kontrak tamat dan sudah tak terima wang royalti yang menjadi kegunaan utama selama ini.
Cukup sekadar meneruskan kelangsungan hidup
Ujar Sazali lagi, memandangkan kontrak royalti MACP akan tamat tahun depan, dia memohon sekiranya ada pihak yang sudi untuk tampil membantu dirinya dan isteri meneruskan kehidupan memandangkan mereka sudah tidak berdaya untuk bekerja.
Kalau ada yang boleh bantu secara bulanan saya sangat menghargainya. Nilainya tidak perlu tinggi pun, cukuplah sekadar saya dan isteri dapat meneruskan kelangsungan hidup. Buat masa ni, saya berjimat-cermat dengan duit bantuan yang diterima. Saya teruskan hidup dengan duit yang ada sekarang.
Sumber: Berita Mediacorp