Kalau dahulu kita ingin menggunakan perkhidmatan menggunting rambut kita perlu ‘walk in’ ke kedai untuk menempah slot secara manual. Namun kini, semuanya hanya di hujung jari, jadi mudah dan lebih menjimatkan masa.
Artikel Berkaitan: ‘Masa Malam Pertama, Suami Suruh Saya Botakkan Kepala..Dah Macam Gay Je’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Wanita Sedih ‘Barber’ Potong Rambut Anak Tidak Cantik, Bayar Mahal Sampai RM160
Boleh semak ‘review’ pelanggan
Aplikasi inovatif, myBarber tidak ketinggalan apabila menyediakan satu platform yang memudahkan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut kepada pelanggan secara dalam talian.
Pengasas myBarber, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, visi perniagaan adalah merevolusikan proses tempahan perkhidmatan grooming tradisional, membolehkan pengguna menempah khidmat potongan rambut, meneroka portfolio barber di kawasan berdekatan dan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah melalui satu aplikasi.
Kami berhasrat menjadi destinasi utama untuk semua keperluan penjagaan rambut, mencipta pengalaman lancar dan mudah bagi pelanggan serta tukang gunting.
Mengenai ciri-ciri aplikasi yang ada, Muhammad Saiful Amirul menyatakan, pelanggan boleh mendapat kemudahan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut dengan cepat di barbershop atau rumah.
Pengguna boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai.
Pembayaran juga lancar kerana transaksi tanpa tunai terus dalam aplikasi.
Tambah anak muda yang sudah terlibat bidang gunting rambut sejak lima tahun lalu, pengguna platform tersebut juga akan diingatkan untuk membuat tempahan seterusnya.
Aplikasi ini menguruskan pelbagai tempahan dengan cekap menggunakan kalendar terbina dalam.
Ia membabitkan analisis perniagaan iaitu akses analitik perniagaan, pemantauan kehadiran dan trend tempahan pelanggan.
Selain itu, platform ini juga memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan (bebas) dengan menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah dan membantu meluaskan jangkauan melalui kehadiran dalam talian serta kempen pemasaran, menarik pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan.
Muhammad Saiful Amirul berkata demikian ketika majlis pelancaran aplikasi versi beta, myBarber di SneakerLAH, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif myBarber, Ahmad Hazman Hashri dan pengasas TODAK, Azlan Zainal.
Kongsi ilmu pendidikan rambut
Sementara itu, Ahmad Hazman berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan pada majlis pelancaran, antaranya sesi pendidikan rambut yang dikendalikan oleh pakar tukang gunting terkenal dan pertandingan ‘barber battle’.
Sesi pendidikan rambut membabitkan pengalaman pembelajaran yang dikendalikan pakar tukang gunting terkenal, memberikan pandangan tentang isu rambut dan proses penjagaan rambut.
Pertandingan ‘Barber Battle’ menampilkan tukang gunting berbakat yang bersaing dalam kategori ‘fast fade’ termasuk demonstrasi penjagaan rambut secara langsung untuk menampilkan tahap kreativiti dan kemahiran yang tinggi.
myBarber merapatkan jurang antara pelanggan dan tukang gunting rambut terbaik, menawarkan kemudahan, kecekapan, dan kualiti yang dapat diakses bila-bila masa.
Pengguna boleh menempah temu janji untuk potongan rambut dan keperluan penjagaan lain dengan mudah, menjimatkan masa dan tenaga. myBarber adalah usaha baharu dikuasakan oleh jenama lokal yang tidak asing lagi di Malaysia, TODAK.
Maklumat lanjut mengenai aplikasi myBarber boleh didapati menerusi pautan media sosial seperti laman Instagram: mybarberhq; Facebook: mybarber dan Laman Web: barber.my.