Bila jumpa sahaja saudara mara atau rakan lama, mesti soalan ‘bila nak kahwin’ diajukan kepada golongan bujang. Tanpa mereka sedar soalan ini agak sensitif dan merimaskan. Tambahan pula empunya diri sudah meningkat usia!
Tidak tahan ditanya soalan sama, lelaki ini nekad mencari jodoh dengan cara menggantung poster di tepi jalan. Nampak macam dibuat-buat tetapi lelaki yang dikenali sebagai Nooraziro Abdullah ini ternyata serius.
Tak peduli orang cakap apa
Ketika dihubungi Harian Metro, lelaki yang berasal dari Marang Terengganu ini mengakui terpaksa menggunakan cara ini sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan isteri.
Saya tidak peduli orang nak cakap saya terdesak, asalkan dapat cari isteri.
Pelbagai usaha saya lakukan untuk mencari jodoh termasuk adik membantu dengan memaparkan keinginan saya itu di sosial media, namun gagal.
Bagaimanapun, naluri hati saya dapat merasakan jalan ini (gantung poster) mungkin membuahkan hasil.
Saya terfikir, dalam ramai-ramai penduduk Kampung Kuala Dungun dan pengguna jalan raya, tak kan seorang pun tidak sangkut untuk dijadikan isteri.
Tak kisah gemuk, kurus atau hodoh
Tidak kisah dilabel terdesak, Nooraziro mahu berkahwin dalam masa terdekat. Lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah ini dipercayai menggantungkan poster di kawasan Kuala Dungun iaitu diluar tempat yang mudah dikenali orang kampung.
Saya tidak sangka pula perkara ini menjadi tular, namun mahu berfikiran positif mungkin ini penyebab untuk saya mendapat isteri. Ibu bapa serta adik beradik saya pun tidak tahu saya menggunakan kaedah ini untuk mencari jodoh.
Tidak kisahlah wanita macam mana, gemuk ke, kurus ke, hodoh ke, asalkan dapat menerima saya sebagai suaminya.
Ada beberapa wanita sudah menghubungi saya bertanyakan hal berkenaan dan diharap akan ada jodoh untuk saya nanti.
Katanya lagi, dia sudah tidak tahan menjawab soalan rakan-rakan mengenai jodoh setiap kali menghadiri majlis kenduri. Disebabkan itu, dia nekad menggunakan cara ini dan tidak kisah mengenai ciri-ciri pilihan asalkan si perempuan menerima dirinya.
Sumber : Harian Metro