berita

Buat Laporan Polis Konon Kena Rogol, Pelakon Drama Pendek Youtube Dihadapkan Ke Mahkamah

January 14th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Di Kelantan, seorang pelakon drama pendek Youtube telah dihadapkan di mahkamah selepas membuat laporan palsu mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol dua orang lelaki. Lebih mengejutkan apabila mengetahui perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh semata-mata mahu kedua-dua lelaki itu dikenakan tindakan.

Buat laporan palsu

Berdasarkan laporan yang dipetik daripada Harian Metro, tertuduh yang dikenali dengan nama Nor Hafizah Shamsuddin itu telah didakwa dengan dua pertuduhan berkaitan pemerasan dan membuat laporan palsu. Tertuduh berusia 31 tahun itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dan meminta supaya kes ini dibicarakan semula.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada bulan Disember tahun lepas selepas tertuduh didakwa memeras ‘ugut’ mangsa bahawa akan melaporkan kepada pihak polis dengan menuduh mangsa merogolnya.

Konon kena rogol

Selain itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah membuat laporan palsu mendakwa dirinya dirogol oleh mangsa yang sama dan seorang lagi lelaki lain. Difahamkan, tertuduh yang merupakan seorang suri rumah dan ibu kepada empat orang anak itu nekad bertindak sedemikian kerana mahu mangsa dan lelaki berkenaan dikenakan tindakan.

Bagi kedua-dua pertuduhan, kes ini akan didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk pertuduhan kedua.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×