Gara-gara ingin memiliki tubuh badan yang langsing, seorang wanita berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan proses menyedut lemak di salah sebuah pusat kecantikan di Cheras, Kuala Lumpur.
Lebih menyayat hati apabila mengetahui mangsa melakukan rawatan tersebut sempena majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Proses sedut lemak
Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, mangsa yang yang berusia 23 tahun itu melakukan persediaan awal sebelum menjelang hari bahagia bersama pasangannya pada tahun hadapan. Namun siapa sangka, belum sempat naik pelamin, ajal sudah menjemputnya.
Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak. Namun, pusat kecantikan yang dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya itu tetap meneruskan prosedur sedut lemak berkenaan selepas dikatakan menerima desakan daripada mangsa.
Tunggu keputusan bedah siasat
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Datuk Saiful Azly, kejadian cemas itu berlaku semasa mangsa menerima suntikan pada bahagian tangan. Namun lain pula yang jadinya apabila mangsa secara tiba-tiba mengalami sesak nafas. Bukan itu sahaja, muka dan badan mangsa menjadi pucat sebelum dia jatuh pengsan.
Risau sesuatu perkara buruk berlaku, pihak pusat kecantikan terbabit telah menghubungi ambulans dan mangsa telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, kami menahan dua beranak berkenaan yang masing-masing berusia 49 dan 23 tahun bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.
Sementara itu, pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian tersebut.
Sumber: Harian Metro